Tarek Obaid sebabkan AS$120 juta dipindahkan ke akaun eskrow

Budiman mengemukakan permohonan kerajaan untuk menyekat Tarek, PSI dan anak syarikatnya, PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Ltd (PSOS-VZ) daripada menggunakan lebih AS$340 juta yang dikaitkan dengan 1MDB. - Foto fail Bernama
Budiman mengemukakan permohonan kerajaan untuk menyekat Tarek, PSI dan anak syarikatnya, PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Ltd (PSOS-VZ) daripada menggunakan lebih AS$340 juta yang dikaitkan dengan 1MDB. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa Pengarah PetroSaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid mempunyai kuasa mutlak ke atas akaun syarikat itu dan didakwa menyebabkan kira-kira AS$120 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PSI untuk dipindahkan ke akaun eskrow.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed dalam hujahannya berkata, Tarek sepanjang masa berkaitan merupakan orang yang mempunyai kawalan mutlak ke atas akaun PetroSaudi termasuk pemindahan dana, kerana beliau adalah penandatangan yang sah untuk akaun-akaun tersebut.

“Nama Tarek bukan sahaja disenaraikan sebagai pengarah dan penandatangan yang sah untuk syarikat-syarikat itu, tetapi nama beliau juga terdapat dalam identiti pemilik benefisial akaun tersebut.

“Penegasan oleh seorang daripada pegawai penyiasat kes dalam afidavitnya juga menyatakan bahawa, Tarek telah dan terus mempunyai kawalan tetap terhadap semua entiti di bawah kumpulan syarikat PetroSaudi,” katanya.

Budiman mengemukakan permohonan kerajaan untuk menyekat Tarek, PSI dan anak syarikatnya, PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Ltd (PSOS-VZ) daripada menggunakan lebih AS$340 juta yang dikaitkan dengan 1MDB yang disimpan dalam akaun eskrow di firma undang-undang di United Kingdom (UK), Clyde & Co di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Pada 16 Julai 2020 mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk perintah interim bagi menyekat Tarek, PSI dan PSOS-VZ daripada memindahkan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dan disimpan dalam akaun eskrow di sebuah firma guaman di UK, ke entiti lain.

Perintah interim itu untuk mengekalkan status quo pihak-pihak berkaitan sehingga pelupusan permohonan sekatan oleh kerajaan yang memohon perintah untuk menyekat sebarang urusan mengenai wang milik PSI dan PSOS-VZ yang kini berada dalam akaun eskrow yang dipegang oleh Clyde & Co.

Selain AS$340 juta, kerajaan juga memohon wang yang tidak ditentukan yang disimpan di bawah nama akaun perantaraan Temple Fiduciary Services Limited di Barclays Bank, UK.

Artikel Berkaitan:

Permohonan tersebut difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) yang menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima.

Pendengaran di hadapan Hakim Ahmad Shahrir bersambung Khamis ini. - Bernama