X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Kejohanan Muay Thai Dunia: Malaysia tidak letak sasaran pingat

Tiga anak muda Johor, Nurul Syafiqah Amirah Rosli, 18, (kiri) Tee Jac Yoe, 25, (belakang) dan Damia Husna, 16, (kanan) ketika berlatih bersama rakan sepelatih (sparing) bagi persiapan kejohanan Muay Thai Dunia 2021 pada Disember ini di MMA Academy Taman Mount Austin. - Foto Bernama
A
A

BANGKOK - Skuad Muay Thai Malaysia tidak meletakkan sasaran pingat pada Kejohanan Muay Thai Dunia 2021 yang diadakan di Bangkok bermula hari ini.

Pengurus skuad Muay Thai negara, Saifulnizam Mohd Shahar berkata, Malaysia menghantar atlet berusia antara 10 hingga 30 tahun yang bakal beraksi dalam pelbagai kategori - Senior, Bawah 23 dan Remaja.

“Ini merupakan kejohanan Muay Thai antarabangsa yang pertama (bagi pasukan Malaysia) sejak pandemik Covid-19.

“Selepas dua tahun tiada pertandingan dan latihan yang sewajarnya, Malaysia tidak meletakkan sasaran pingat spesifik pada kejohanan kali ini,” katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.

Saifulnizam mengakui ia adalah satu cabaran buat atlet Muay Thai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak boleh menjalani latihan seperti biasa.

“Mereka yang bukan di bawah Program Podium, Majlis Sukan Negara, terpaksa menjalani latihan di rumah tanpa jurulatih atau latihan khas. Mereka hanya mengikut kemampuan dan disiplin diri,” katanya.

Antara atlet Muay Thai Malaysia yang berentap pada kejohanan kali ini ialah Mohammad Rifdean Masdor yang memenangi pingat perak pada Kejohanan Muay Thai Dunia dalam kategori 48 kilogram pada 2019 dan pemenang pingat emas Kejohanan Muay Thai Dunia 2016, Nur Amisha Azrilrizal.

Kejohanan Muay Thai Dunia yang berlangsung hingga 11 Disember menyaksikan lebih 1,000 atlet dari 91 negara berentap dalam pelbagai kategori di Stadium Nasional. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!