X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Perkeso, MAF jalin kerjasama bantu pencarum hidap HIV/AIDS

Perkeso
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) menjalin kerjasama bagi membina hubungan strategik yang akan memberi manfaat dan memperkasakan Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) di kalangan pencarum.

Kerjasama berkenaan telah dimeterai menerusi satu memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani oleh Pengerusi MAF, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed pada Isnin.

Mohammed Azman berkata, melalui MoU tersebut, kedua-dua agensi berkenaan bekerjasama melaksanakan ‘Prevention and Disability Management Program’.

Menurutnya, ia merangkumi pelaksanaan inisiatif pengurusan hilang upaya yang komprehensif dan dinamik, di samping inisiatif pencegahan dan promosi kesihatan khusus buat golongan ODHA dengan matlamat memberikan mereka sinar baharu dan kehidupan yang lebih baik.

“Perkeso maklum bahawa stigma dan diskriminasi terhadap ODHA masih wujud. Akses kepada sektor pekerjaan yang bebas daripada diskriminasi merupakan hak setiap insan.

“Perkeso akan terus bekerjasama dengan MAF dalam memberi sokongan dan bantuan kepada golongan ODHA terutamanya melibatkan aspek pencegahan, pengurusan hilang upaya dan penempatan pekerjaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Selain itu, Perkeso telah memberikan sumbangan berjumlah RM276,000 kepada Skim Bantuan Perubatan (Skim PAL) di bawah kelolaan MAF untuk membiayai rawatan ‘second-line’ Antiretroviral Therapy (ARV).

Menurut Mohammed Azman, bantuan itu dijangka dapat membantu menampung kos rawatan yang diterima oleh ODHA dari kalangan pencarum sehingga 12 bulan.

“Sumbangan menerusi Skim PAL ini adalah manifestasi keyakinan kami terhadap potensi dan keupayaan golongan ODHA untuk pulih serta kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Adeeba berkata, sokongan Perkeso terhadap program berkenaan amat penting terhadap matlamat mengakhiri epidemik AIDS menjelang tahun 2030.

“Ia amat bergantung kepada sejauh mana kita dapat menghubungkan ODHA dengan rawatan ARV. ARV merupakan senjata paling efektif untuk kita menghalang kesan negatif jangkitan virus HIV dalam tubuh badan manusia.

“Dengan ARV, jangkitan HIV yang dahulunya dianggap sebagai hukuman maut kini berubah menjadi pengalaman hidup yang menghampiri normal,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!