Enam lagi pelajar Maktab Mahmud Sik positif Covid-19

Datuk Dr Mohd Hayati Othman
Datuk Dr Mohd Hayati Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Kluster Dah Pelangi kini bertambah kepada 30 kes selepas enam lagi pelajar Maktab Mahmud Sik dikesan positif Covid-19 setakat Ahad.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, pertambahan kes berlaku selepas saringan dilakukan terhadap 44 warga maktab tersebut.

Menurutnya, seramai 14 lagi pelajar didapati negatif Covid-19, sementara pelajar yang positif berada pada kategori satu dan dikuarantin di asrama serta dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Seorang pelajar pula telah dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Kulim dan setakat ini, belum dibenarkan pulang.

"Seorang lagi dirawat di Hospital Sik, namun sudah dibenarkan pulang pada Jumaat lalu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Kluster baharu muncul di Kedah

Pada Jumaat, media melaporkan Kluster Dah Pelangi menjadi kluster baharu kes Covid-19 yang dikesan di Kedah melibatkan sebuah sekolah berasrama iaitu Maktab Mahmud Sik, Taman Pelangi Jaya, Sik.

Sebanyak 24 kes telah dikesan dalam kluster tersebut melibatkan pelajar lelaki sekolah itu dan kluster institusi pendidikan ini dikesan setelah beberapa pelajar didapati mengalami gejala bermula pada Ahad lepas.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, semua pelajar yang positif sudah lengkap vaksinasi kecuali seorang pelajar kerana tidak mendapat kebenaran daripada warisnya.

Artikel Berkaitan:

"Sekolah tersebut telah diberikan cuti selama seminggu dan pelajar yang tinggal di asrama akan kekal di asrama dan yang lain di kediaman masing-masing," katanya.