Pampasan perpindahan penduduk Kampung Sungai Baru lebih RM250,000

Datuk Seri Shahidan Kassim
Datuk Seri Shahidan Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pampasan pemindahan penduduk Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu yang didakwa rendah adalah tidak tepat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pampasan sebenar ke atas penduduk terlibat projek pembangunan semula kawasan itu adalah lebih tinggi daripada nilai didakwa kurang RM250,000.

Namun menurutnya, jumlah pampasan sebenar akan dimaklumkan kepada penduduk selepas mereka bertemu dengan pemaju.

"Jika penduduk tidak puas hati boleh berjumpa dengan saya bukan bercerita di media sosial. Ia tidak dapat menyelesaikan masalah.

"Fakta yang diceritakan tidak betul, tentang pampasan yang diterima sebenarnya adalah lebih tinggi, namun akan dimaklumkan selepas penduduk berjumpa dengan pemaju dalam pertemuan kedua nanti," katanya program Penyerahan ShopeePay Pushcart kepada penjaja di Taman Tasik Metropolitan Kepong pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Pampasan rendah, penduduk mohon campur tangan kerajaan

Shahidan berkata, 68 peratus penduduk Flat PPKNS, Kampung Sungai Baru telah menurunkan tandatangan dan sedang mengumpul maklumat jumlah penduduk rumah teres yang terlibat dengan projek pembangunan itu.

Susulan itu, beliau telah meminta proses pendengaran kedua ditangguhkan sehingga beliau bertemu dengan semua pihak.

"Saya baharu menyandang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dan akan selesaikan masalah ini dengan terbaik. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

"Pertemuan penduduk dengan pemaju akan diatur pada minggu ini," katanya.

Pada Sabtu, hampir 20 penduduk Kampung Sungai Baru berkumpul memohon kerajaan campur tangan isu pampasan pengosongan unit yang didakwa ditawarkan antara RM200,000 hingga RM250,000 kepada penduduk rumah flat.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan buat penduduk di rumah teres di kawasan itu akan kemungkinan turut menerima pampasan rendah.

Penduduk menyuarakan kesedihan susulan jumlah pampasan yang ditawarkan itu tidak cukup untuk membeli rumah baharu di Kuala Lumpur.