X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Harimau Malaya langkah kanan

Akhyar cuba melakukan percubaan ke gawang Kemboja ketika aksi di Stadium Bishan sebentar tadi. - Foto FB FAM
A
A

SKUAD Harimau Malaya memulakan aksi sulung Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 dengan nota kemenangan apabila membenam Kemboja 3-1 di Stadium Bishan sebentar tadi.

Kehilangan dua tonggak penting - penjaga gol, Khairulazhan Khalid dan pemain sayap lincah, Faisal Halim yang disahkan positif Covid-19 sehari sebelum pertembungan itu jelas tidak mengganggu tumpuan Harimau Malaya dalam memburu tiga mata berharga.

Dalam tempoh 15 minit pertama perlawanan, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu memberikan tekanan kepada Kemboja menerusi beberapa percubaan berbahaya.

Tandukan Syafiq Ahmad seawal minit kedua sedikit melewati palang gol sebelulum rembatan kencang Safawi Rasid dari luar kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol Kemboja, Keo Soksela berselang tiga minit kemudian.

Gol yang ditunggu-tunggu Harimau Malaya akhirnya tiba pada minit ke-22 selepas Harimau Malaya dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Safawi.

Sepakan penalti itu berpunca selepas pemain sayap Harimau Malaya, Akhyar Rashid dikasari pertahanan Kemboja, Ken Chansopheak dalam kawasan penalti.

Safawi meraikan jaringannya dengan gaya tersendiri di Stadium Bishan sebentar tadi. - Foto FB FAM
Safawi meraikan jaringannya dengan gaya tersendiri di Stadium Bishan sebentar tadi. - Foto FB FAM

Tersentak dengan gol tersebut, Kemboja yang dibimbing legenda Jepun, Keisuke Honda memperkemaskan jentera serangan sehingga berjaya memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan.

Namun, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat lebih tangkas menafikan percubaan daripada Sieng Chanthea, Sos Suhana dan sepakan sudut Lim Pisoth yang hampir menerjah gawang Harimau Malaya.

Bersambung babak kedua, Kemboja tampak bermula garang memburu gol penyamaan, namun Harimau Malaya terus menekan lawan dengan gol kedua menerusi jaringan Akhyar pada pada minit ke-60.

Seolah-olah tidak berpuas hati dengan dua gol, Cheng Hoe melakukan beberapa pertukaran apabila memasukkan Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, Arif Aiman Hanapi dan R Kogileswaran pada pertengahan babak kedua.

Percaturan itu nyata membuahkan hasil apabila Kogileswaran berjaya menyumbat masuk bola hantaran Luqman Hakim pada minit ke-77 untuk meletakkan Harimau Malaya terus selesa dengan kelebihan tiga gol.

Namun, hasrat Khairul Fahmi untuk tidak dibolosi pada perlawanan itu tidak kesampaian apabila Kemboja dihadiahkan sepakan penalti berikutan kekasaran 'kontroversi’ yang dilakukannya terhadap Sath Rosib.

Rosid yang mengambil sepakan penalti itu tenang menyempurnakan tugasannya untuk menyumbat gol sagu hati Kemboja pada minit-minit terakhir perlawanan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!