Malaysia komited kepada kerja-kerja seni, budaya

Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan memberikan sepenuh komitmen kepada kerja-kerja seni dan budaya, dan akan terus mempertingkatkan perbincangan membina mengenai seni dan budaya, baik di peringkat serantau, mahupun di peringkat antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi berkata, Malaysia sentiasa berusaha untuk meletakkan negara agar di pandang tinggi bukan sahaja di mata Asia tetapi juga di mata dunia.

Beliau memberi contoh, Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Seni dan Budaya ke-8, yang bemula semalam hingga Khamis ini, adalah satu lagi peristiwa yang amat bersejarah buat Malaysia kerana inilah julung kalinya Malaysia menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak itu.

“Sesungguhnya ia satu penghormatan dan penghargaan yang amat tinggi buat Malaysia kerana dipilih menjadi tuan rumah bagi acara yang amat baik ini, yang akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dan persahabatan antara negara-negara peserta.

“Sidang kemuncak dunia ini adalah satu platform yang amat penting untuk mengumpulkan para penggubal dasar, penyelidik dan pengamal seni budaya dari seluruh pelosok dunia, bagi menangani isu-isu utama berhubung dasar awam dan menyokong kerja-kerja seni dan budaya,” katanya dalam ucapan alu-aluannya di sini, hari ini.

Mohammadin berkata sidang kemuncak antarabangsa itu menyasarkan untuk membuka laluan kepada pemikiran-pemikiran baharu, memberi jalan keluar serta penyelesaian dengan memberi sokongan kepada sektor seni dan budaya dalam bidang kreatif dan kolaborasi.

Beliau berkata, ia membuka peluang untuk berkolaborasi dan melaksanakan program pertukaran antara pertubuhan-pertubuhan kebudayaan serantau dan sektor kerajaan, yang dapat memantapkan lagi kegiatan seni dan budaya dalam negara dan yang merentasi sempadan.

“Sidang kemuncak ini juga mampu memperteguhkan lagi interaksi dan kerjasama antara masyarakat seni dan budaya dengan menangani isu-isu utama yang dibangkit dan dibincangkan di bawah tema ‘Minda Mudah Alih: Budaya, Pengetahuan dan Perubahan’ (Mobile Minds: Culture, Knowledge and Change),” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus menawarkan produk-produk pelancongan berbaloi yang telah banyak dilakukan penambahbaikan terhadapnya, kepada para pelancong yang melawat negara ini.

Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Seni Dan Budaya Kali Ke-8 itu akan berlangsung pada 11 hingga 14 Mac 2019 di KL Performing Arts Centre (KL PAC), di sini.

Ia dianjurkan bersama oleh ‘International Federation of Arts Councils and Culture Agencies (IFACCA)’ dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). - Bernama