Fatini akui sikap Natrah dingin, tidak suka wartawan

Penulis Buku Natrah, Puan Sri Fatini Yaacob
Penulis Buku Natrah, Puan Sri Fatini Yaacob
A
A
A

SHAH ALAM - Penulis Buku Natrah, Puan Sri Fatini Yaacob akui terkilan dan sangat kecewa ketika berjumpa dan melihat sikap Maria Bertha Hertogh atau lebih dikenali sebagai Natrah pada ketika itu yang dingin terhadap kerjayanya sebagai seorang wartawan.

Fatini berkata, dia tidak menyangka bahawa reaksi gadis berketurunan Eropah itu tidak seperti apa yang digambarkan.

Ujarnya, dalam pertemuan tersebut, dia membawa dua anak Natrah bersama ke England sebagai penyebab untuk berjumpa dan bercakap dengan individu berkenaan.

“Masa itu, saya belum tahu lagi perangai dia macam itu. Dia peluk kedua-dua anaknya tanpa melihat saya.

“Selepas itu, baru saya tahu bahawa dia tidak suka wartawan. Bagi dia kerja wartawan itu boleh menjadi kaya-raya melalui (hasil) penulisan dan cerita mereka. Dia pula ‘maintain’ (kekal) miskin.

“Padahal bukan semua seperti itu. Gaji kita macam itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Mak Untuk Malaysia (MUM) bertajuk ‘Di Sebalik Air Mata Natrah’ yang dihoskan Anim Ezati Rizki dan disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Program MUM menampilkan Penulis Buku Natrah, Puan Sri Fatini Yaacob (kanan) bersama pengacara, Anim Ezati Rizki yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Program MUM menampilkan Penulis Buku Natrah, Puan Sri Fatini Yaacob (kanan) bersama pengacara, Anim Ezati Rizki yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Pada 1950, kisah Natrah satu ketika dahulu telah menggemparkan Tanah Melayu dengan tragedi rusuhan di Singapura.

Bagaimanapun, Fatini berkata, dia kekal bermuhasabah dan tidak mengambil hati mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, dia hanya ingin fokus pada usahanya untuk wawancara Natrah dan berharap agar segala urusan berjalan dengan lancar.

“Apabila dia buat macam itu, saya fahamlah bahawa dia tidak seperti apa yang kita gambarkan, jadi kita kena lapangkan hati untuk menerima apa sahaja keadaan kerana kita bekerja.

“Kita tidak boleh mengharapkan dia memberi cinta dan kasih sayang mereka kepada kita. Itu tidak boleh.

“Jadi kita kena kembali menjadi wartawan profesional yang tidak mengharapkan apa-apa dan mohon kepada ALLAH SWT supaya apa yang kita nak daripada wawancara dia (Natrah) berjalan dengan baik,” ujarnya.