Kerajaan setuju kerangka tadbir urus pemantauan RMK12: PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan hari ini menerima dan bersetuju dengan kerangka tadbir urus pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memastikan pelaksanaan projek dan program dapat memberi manfaat kepada rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK12 kali pertama yang dipengerusikannya pada Isnin, bertujuan memastikan strategi dan inisiatif yang ditetapkan, dilaksanakan mengikut perancangan bagi mencapai sasaran ditetapkan dalam rancangan Malaysia lima tahun (RMLT).

Bagi tujuan itu Ismail Sabri berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK12, akan memantau secara khusus 20 perkara utama antaranya prestasi pelaksanaan projek dan perbelanjaan pembangunan; membasmi kemiskinan tegar; menambah baik ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan TVET; serta transformasi perkhidmatan awam.

“Kerajaan memandang serius usaha-usaha untuk memastikan pelaksanaan projek dan juga program ini dapat memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu juga menerima dan bersetuju dengan pendekatan baharu pembasmian kemiskinan tegar secara holistik yang akan diterajui bersama oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, berdasarkan pendekatan keseluruhan negara.

Ismail Sabri berkata, pendekatan baharu itu melibatkan pelaksanaan secara terancang yang merangkumi sektor awam, swasta, akademia serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO).

Beliau berkata, sebanyak 50 lokaliti dipilih bagi pelaksanaan dalam fasa satu yang bermula awal tahun depan dan tumpuan pemilihan lokaliti akan diberikan di negeri dengan kadar kemiskinan tegar tertinggi.

Katanya, program itu akan dilaksanakan secara bersasar berdasarkan keperluan lokaliti dan mengambil kira pelbagai dimensi termasuklah aspek pendapatan, pendidikan dan kemahiran serta kesihatan, melibatkan kawasan bandar dan luar bandar tanpa mengira etnik.

Artikel Berkaitan:

“Mesyuarat bagi membincangkan agenda membasmi kemiskinan tegar ini akan diadakan dengan kerap. Ini bagi memastikan pelaksanaan program membasmi kemiskinan tegar berjalan dengan lebih berkesan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat berkenaan turut mengambil maklum Prestasi Perbelanjaan Pembangunan (DE) Asas 2021, termasuklah isu yang berkaitan serta keperluan kewangan pada tahun seterusnya.

Beliau berkata, bagi memastikan keberkesanan pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan RMK12 berkenaan juga, Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) telah diedarkan kepada semua kementerian dan agensi bermula pada 23 November lepas.

Tambahnya, prestasi pencapaian pelan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD), RMLT juga akan dipantau menggunakan Sistem Pemantauan RMK12 bermula awal tahun depan.

Ismail Sabri berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK12 yang dipengerusikan oleh beliau dan disokong oleh Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja, akan bermesyuarat empat kali setahun bagi memantau pelaksanaan sembilan fokus utama dan sembilan pemacu terpilih RMLT. - BERNAMA