41 kes positif Covid-19 berpunca PRN Melaka

Muhamad Akmal pada sidang akhbar di Kompleks Japerun Merlimau, Jasin pada Isnin.
Muhamad Akmal pada sidang akhbar di Kompleks Japerun Merlimau, Jasin pada Isnin.
A
A
A

JASIN - Seramai 41 individu dikesan positif Covid-19 yang dipercayai berpunca daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Kluster Pulau Gadong membabitkan kluster institusi pendidikan yang dilaporkan di daerah Melaka Tengah itu merupakan kes positif membabitkan pelajar dan tenaga pengajar di dua buah madrasah.

Menurutnya, kes indeks lelaki yang merupakan seorang tenaga pengajar itu tercetus apabila rentetan perjalanan individu tersebut mendapati dia terlibat dalam jentera PRN lalu dan bergejala sejak 21 November namun telah hadir mengajar di dua buah madrasah berkenaan pada 22 dan 23 November lalu.

"Kes indeks itu telah disahkan positif melalui ujian RT-PCR pada 25 November lalu.

"Pejabat Kesihatan Daerah Melaka pada 29 November telah menerima notifikasi bahawa terdapat empat pelajar madrasah itu yang positif melalui ujian RTK-AG Saliva Test Kit dan seterusnya lima pelajar positif melalui ujian RTK Saliva pada 30 November lalu," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Japerun Merlimau, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, berikutan itu saringan telah dilakukan membabitkan seramai 185 individu, daripada jumlah itu, 41 dikesan positif manakala yang lain masih menunggu keputusan.

Menurutnya, setakat ini 32 kes positif membabitkan individu berusia bawah 19 tahun, lapan kes individu berusia 20 hingga 29 tahun dan seorang murid positif berusia bawah 9 tahun.

"Kedua-dua madrasah juga telah ditutup dan kita tidak benarkan mana-mana pihak untuk masuk, melainkan pihak berwajib," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sehingga ke hari ini (Isnin) terdapat 12 kluster aktif manakala dalam tempoh dua minggu selepas PRN terdapat tiga kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Pulau Gadong, Kluster Industri Batu 16 1/2 Air Tawar dan Kluster Kilometer 12, Paya Rumput namun hanya satu yang dikaitkan dengan PRN.

Menurutnya, terdapat pertambahan kes sebanyak 2,989 daripada 20 November sehingga 5 Disember iaitu kenaikan sebanyak 4.3 peratus berbanding PRN Sabah yang merekodkan kenaikan dalam minggu pertama melebihi 70 peratus.

"PRN Melaka kali ini disebabkan SOP (prosedur operasi standard) ketat yang telah kita laksanakan dan juga atas dasar kadar vaksinasi yang sangat tinggi di negeri ini, maka kita berjaya mengekang Covid-19 daripada tersebar luas.

"Peratusan sembuh juga meningkat dalam tempoh sama (20 November hingga 5 Disember) iaitu daripada 96.2 peratus kepada 96.3 peratus," katanya.