Audit dapati sistem MyGST kurang berkesan

Manage-GST-Logo.png
Manage-GST-Logo.png
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan sistem MyGST yang diperkenalkan untuk memudahkan pelaksaaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebelum ini didapati kurang berkesan.

Menurut laporan Audit Negara 2017 Siri Dua, terdapat kelemahan dari aspek transaksi bayaran GST, pemantauan dan pematuhan kepada Service Level Agreement (SLA), penyerahan penyata oleh orang kena cukai (OKC) serta pengurusan pembayaran pulang balik.

Selain itu, Jabatan Audit Negara juga mendapati sebanyak 34,827 (13 peratus) daripada 268,558 permohonan bagi pendaftaran mandatori lewat diluluskan secara automatik melebihi 24 jam iaitu antara satu hingga 432 hari (2014 hingga 2017).

Menurut laporan itu lagi, sebanyak 12,619 (81.03 peratus) daripada 15,574 pendaftaran OKC dengan nilai ambang kurang daripada RM200,000 telah diluluskan secara automatik dalam sistem tanpa pengesahan terlebih dahulu oleh pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) bagi tempoh tahun 2014 hingga 2017.

Selain itu, sebanyak 267 transaksi bagi pembayaran GST dan kompaun bernilai RM8.17 juta dalam sistem GenTax tidak mempunyai nombor pendaftaran GST atau nombor baucar.

Susulan itu, Jabatan Audit Negara mencadangkan beberapa syor memandangkan sistem MyGST tidak digunakan selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 September 2018.

Antaranya, ialah Kastam hendaklah mengemukakan angka tunggakan bayaran balik yang telah disahkan kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan bayaran balik.

Kastam juga disyorkan untuk menyelesaikan kes-kes bagi OKC yang telah lewat mendaftar atau lewat menghantar penyata dengan mengenakan tindakan perundangan yang sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: Kastam perkenal perisian komputer pantau GST]

http://www.sinarharian.com.my/nasional/kastam-perkenal-perisian-komputer-pantau-gst-1.236183

[ARTIKEL BERKAITAN: GST mansuh, SST kembali]

http://www.sinarharian.com.my/nasional/gst-mansuh-sst-kembali-1.835569