154 PPR nikmati kemudahan internet sempurna menjelang 2025

Reezal Merican (tengah) menyampaikan tablet kepada pelajar terpilih.
Reezal Merican (tengah) menyampaikan tablet kepada pelajar terpilih.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan 154 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara akan menikmati kemudahan internet sempurna menjelang tahun 2025 di bawah program Jalinan Digital Negara (Jendela).

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebagai permulaan sebanyak 36 daripada 154 PPR yang berada di kawasan guna sama akan menikmati kemudahan pemasangan 'wifi hotspot' secara berperingkat.

"Kemudahan ini akan disediakan segera secara berperingkat kepada 36 PPR terbabit yang akan memberi manfaat kepada 150,000 penghuni.

"Pada masa ini, sebanyak 80 PPR telah dilengkapi dengan infrastruktur fiber optik, 53 sedang dinaik taraf kepada fiber optik dan 21 lagi dalam perancangan," katanya ketika sidang media selepas melancarkan Program Jendela di PPR Senawang di sini pada Isnin.

Pada majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan peruntukan menerusi program penyelenggaraan sebanyak RM1.7 juta untuk membaiki bumbung PPR Senawang.

Beliau sebelum itu turut menyampaikan sumbangan tablet kepada 20 pelajar sekolah.

Menurutnya, KPKT juga mengarahkan semua pembinaan PPR baharu perlu dilengkapi dengan kabel fiber optik.

Ujarnya, inisiatif perintis bagi projek itu sudah berjaya dilaksanakan di dua PPR baharu di Langkawi.

Artikel Berkaitan:

"Kita nak lihat PPR ini bukan sahaja mampu dimiliki dan didiami tapi mempunyai daya huni yang tinggi.

"Apa guna kita minta mereka (penghuni) membayar RM124 (sebulan) tapi hakikatnya banyak lagi perkara mereka terpaksa lalui dengan penuh kepayahan iaitu tidak ada prasarana sokongan dari segi pendidikan, rekreasi, kegiatan lebih bersifat lestari dan paling utama apabila tiada akses internet," katanya.

Selain itu katanya, pada awal tahun hadapan, KPKP akan memperkenalkan Indeks Tahap Huni yang boleh dijadikan garis panduan untuk kemajuan atau kebenaran merancang pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita mahu PPR yang mampan atau terus relevan pada generasi anak-anak dan cucu kita. Dunia sudah berubah dan begitu juga dengan PPR," katanya.