Parti liar kolam renang, 27 individu positif dadah

Amihizam (kanan) bersama Nasri sedang menyoal siasat wanita yang ditahan dalam serbuan di sebuah kelab persendirian di Kuala Lumpur pada Ahad.
Amihizam (kanan) bersama Nasri sedang menyoal siasat wanita yang ditahan dalam serbuan di sebuah kelab persendirian di Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 27 individu yang terbabit dalam parti liar di kolam renang sebuah kelab persendirian terkemuka di sini pada Ahad didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua mereka didapati positif dadah amphetamine, methamphetamine, ketamin dan kanabis selepas ujian saringan air kencing dilakukan ke atas 131 individu.

Selain itu katanya, seramai 23 warga tempatan dan empat warga asing berusia 17 tahun hingga 50 tahun direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti yang bertentangan dengan penetapan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya.

"Sebarang maklumat berkaitan perlanggaran prosedur operasi standard Pelan Pemulihan Negara atau apa-apa perbuatan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur, pengunjung parti liar kolam renang dikompaun RM1.56 juta

Pada Ahad Sinar Harian melaporkan polis menjalankan risikan sebelum serbuan dilakukan pada jam 10.50 malam.

Difahamkan setiap individu dikenakan bayaran RM60 untuk menyertai parti yang dijemput menerusi aplikasi media sosial.

Artikel Berkaitan:

Serbuan berkenaan diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor bersama anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.