X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

LBS diiktiraf sebagai 10 pemaju terbaik

Hock San
A
A

SHAH ALAM - Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) sekali lagi merangkul Anugerah 10 Pemaju Terbaik 2020/2021 di Anugerah BCI Asia (BCIAA) bagi tahun 2020.

LBS dalam satu kenyataan berkata, pencapaian itu merupakan satu pengiktirafan besar kepada LBS sebagai pemaju hartanah contoh dan terbaik di Malaysia serta Asia Tenggara dan ia merupakan anugerah yang diterima oleh LBS untuk kali kelima.

“Anugerah 10 Pemaju Terbaik 2020 telah dipilih berdasarkan tahap kelestarian projek-projek mereka.

“Ia merupakan anugerah berprestij yang paling dinantikan dalam kalangan sektor seni bina, pemaju hartanah dan pembinaan di seluruh Asia Tenggara termasuk Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Anugerah ini telah diadakan untuk kali ke-17 sejak penubuhannya pada tahun 2003,” jelas kenyataan itu pada Isnin.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San berkata, objektif perumahan lestari adalah untuk meningkatkan taraf hidup sambil memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memiliki rumah idaman mereka dengan perpaduan dan kesejahteraan kemasyarakatan yang lebih baik, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan sosial.

“Pertimbangan dari aspek kelestarian diambil kira dalam keseluruhan kitaran hayat pembangunan kami, baik daripada reka bentuk konsep kepada pembinaan dan pengurusan bangunan seperti KITA Mekar, KITA Mesra, Residensi Bintang Bukit Jalil, dan Prestige Residence, yang dilancarkan baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, tahun 2020 merupakan tahun mencabar namun LBS mampu mengharunginya dengan sokongan dari kerja keras dan ketabahan para pekerja yang berjaya meletakkan LBS sebagai 10 pemaju perumahan terbaik.

“Saya berbesar hati dan berterima kasih kepada BCIAA kerana sentiasa mengiktiraf usaha kami dan menganugerahkan LBS dengan Anugerah 10 Pemaju Terbaik.

“Kami percaya pada waktu pandemik ini, rumah mampu milik dengan kualiti binaan yang luar biasa adalah kunci kepada kejayaan syarikat. LBS akan memberikan tumpuan dan akan terus dipacu ke arah menyediakan rumah mampu milik dan mewujudkan kehidupan yang hijau dan mampan, serta persekitaran bekerja dan rekreasi untuk semua pembeli rumah Malaysia,” katanya.

Sementara itu, LBS telah menerima anugerah itu pada Majlis Makan Malam Gala BCIAA 2020/2021 telah diadakan di Kuala Lumpur pada 3 Disember lepas.

Ia telah dihadiri oleh Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Datuk Ar Ezumi Harzani Ismail, Pertubuhan Perekabentuk Dalaman Malaysia (PPDM), IDr Lai Siew Hong, dan Mantan Presiden, Malaysia Green Building Council (MGBC), Ar Chan Seong Aun.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!