Lebih 600 pokok musang king dimusnahkan

Kerja menebang 600 pokok durian musang king yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Teras dilakukan kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub. - Foto Ihsan PHD Raub
Kerja menebang 600 pokok durian musang king yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Teras dilakukan kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub. - Foto Ihsan PHD Raub
A
A
A

KUANTAN - Lebih 600 pokok durian klon jenis musang king yang ditanam secara haram di atas tanah seluas empat hektar dalam Hutan Simpan Teras, Raub telah dimusnahkan.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad berkata, kerja-kerja menebang pokok itu disertai 25 kakitangan dengan pengawasan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Menurutnya, pencerobohan kawasan itu dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab lebih dua tahun lalu.

"Kita berjaya mengesan kawasan berkenaan selepas melakukan rondaan serta semakan menggunakan Sistem e-Geoformatik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada 26 November lalu.

"Hasil siasatan mendapati kegiatan penerokaan kawasan berkenaan dilakukan oleh seorang lelaki yang menggunakan beberapa pekerja warga asing," katanya yang mengadakan operasi Teras selama lima hari bermula Isnin.

Beliau menjelaskan, pokok durian musang king berusia setahun hingga dua tahun itu dimusnahkan dengan cara menebang menggunakan parang dan mesin gergaji berantai.

Tambahnya, banyak cabaran yang terpaksa dilalui sepanjang proses menebang pokok ini memandangkan kawasan tersebut berbukit dan laluan curam.

Shahril memaklumkan, sepanjang tahun ini Pejabat Hutan Daerah Raub telah melakukan lima operasi membanteras penerokaan hutan simpan secara haram membabitkan kawasan seluas kira-kira 142.7 hektar.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Operasi Pamah Hutan Simpan Batu Talam pada Julai lalu merupakan kemuncak terhadap ketegasan kerajaan Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Pejabat Hutan Daerah Raub apabila memusnahkan 15,000 pokok durian musang king membabitkan kawasan seluas 101 hektar yang turut diwartakan sebagai kawasan tadahan air.

"Selepas itu, kita giat melakukan penguatkuasaan di Hutan Simpan Sempam, Hutan Simpan Kelau, Hutan Simpan Tersang dan Hutan Simpan Teras.

"Operasi Teras ini merupakan yang keenam dilakukan tahun ini dan tindakan sama akan dilakukan bagi memastikan kegiatan menceroboh hutan simpan secara haram tidak terus berulang," ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan program menanam pokok balak di kawasan terbabit bermula Selasa.