Nekad belajar demi tunaikan pesanan nenek

Kenangan Muhammad Zulfadli (kanan) disamping arwah neneknya yang meninggal dunia disebabkan Covid-19 pada Ogos lalu.
Kenangan Muhammad Zulfadli (kanan) disamping arwah neneknya yang meninggal dunia disebabkan Covid-19 pada Ogos lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun hidup sebatang kara, namun ia tidak menghalang seorang remaja, Muhammad Zulfadli Redzwan Sabri, 18, untuk mengejar cita-citanya menjejakkan kaki ke menara gading.

Muhammad Zulfadli berkata, dia masih berpegang kepada pesanan terakhir arwah neneknya, Asiah Tokiman, 66, yang mahu melihatnya berjaya dalam pelajaran dan masuk ke universiti.

Muhammad Zulfadli yang kini sedang meneruskan persekolahan di Kolej Tingkatan Enam Pudu Jaya, menyewa rumah dan tinggal seorang diri selepas neneknya meninggal dunia akibat Covid-19 pada Ogos lalu.

"Saya dibesarkan oleh arwah nenek sejak berusia tujuh tahun lagi. Ketika itu, ibu ayah saya menghantar saya ke rumah nenek dan menghilangkan diri tanpa berita sehingga kini.

"Nenek pernah menjadi tukang cuci, menjual kuih serta mengusahakan kebun untuk menyara saya selain menerima bantuan Baitulmal," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Muhammad Zulfadli, ibu dan bapa saudara ada mengajaknya untuk tinggal bersama, namun dia memilih untuk hidup berdikari kerana tidak mahu menyusahkan mereka.

"Sebelum ini, saya ada bekerja separuh masa di kedai serbaneka sebelum membuat keputusan berhenti untuk menumpukan kepada pelajaran.

"Nenek sempat melihat saya mendapat keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Insya-ALLAH saya akan cuba tunaikan permintaan arwah dan bercadang mengambil jurusan linguistik bila berjaya masuk universiti nanti, " katanya.

Artikel Berkaitan: