FGV Holdings mohon batal tuntutan balas lima bekas pegawainya

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - FGV Holdings Berhad telah memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan balas yang dikemukakan lima bekas pengarah bukan eksekutif FGV terhadap syarikat itu berhubung dakwaan kerugian dialami membabitkan pemerolehan Asia Plantation Ltd. (APL) pada 2014.

Peguam Fahda, Nur Ahmad Kamar yang mewakili lima individu berkenaan ketika ditemui pemberita, berkata, selain FGV, turut memfailkan permohonan sama ialah 10 individu terdiri daripada pengerusi serta pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif FGV.

Kelima-lima individu berkenaan sebelum ini disaman oleh FGV yang menuntut RM514 juta berhubung dakwaan kerugian yang timbul daripada pengambilalihan atau secara alternatif, ganti rugi atau kehilangan daripada pengambilalihan APL.

Mereka ialah Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Nozirah Bahari dan Datuk Fazlur Rahman Ebrahim.

Fahda berkata, sepatutnya FGV dan 10 individu itu memfailkan jawapan terhadap tuntutan balas berkenaan hari ini, tetapi mereka gagal berbuat demikian.

"Pihak kami juga dimaklumkan bahawa permohonan untuk membatalkan tuntutan balas berkenaan telah difailkan dan kami telah menerima permohonan itu hari ini," kata peguam itu selepas hadir pada prosiding kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli yang turut dihadiri peguam Ang Hean Leng bertindak bagi pihak FGV.

Mahkamah menetapkan 23 April untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar.

Lima individu itu selaku plaintif memfailkan tuntutan balas pada 11 Februari lepas dengan menamakan syarikat terbabit dan 10 yang lain terdiri daripada pengerusi serta pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif FGV selaku defendan.

Artikel Berkaitan:

Sepuluh individu itu ialah Datuk Azhar Abdul Hamid, Mohd Hassan Ahmad, Datuk Dr Othman Omar, Dr Mohamed Nazeeb P. Alithambi, Datuk Dr Salmiah Ahmad, Datin Hoi Lai Peng, Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Dr Nesadurai Kalanithi, Datuk Mohd Anwar Yahya dan Datuk Mohamed Suffian Awang.

Pada 23 November 2018, FGV memfailkan saman menuntut RM514 juta dan ganti rugi lain terhadap bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah dan 13 yang lain berhubung pemerolehan APL pada 2014.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, individu lain yang dinamakan sebagai defendan ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad iaitu pengerusi FGV pada masa itu; bekas Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha; bekas Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Kluster Hiliran Farisan Mokhtar; dan dan bekas Pengurus Besar Kanan Kluster Hiliran Rasydan Alias Mohamed.

Sembilan yang lain ialah bekas pengarah bukan eksekutif FGV iaitu Ismee, Wan Abdul Aziz, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd, Harun Narrashid, Datuk Yahaya Abd Jabar, Datuk Faizoull Ahmad, Nozirah dan Fazlur Rahman.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, saman tersebut adalah berkenaan dengan pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam APL melalui tawaran tunai bersyarat sukarela pada 2014. - Bernama