Suami isteri ditahan pecah masuk kedai, kenderaan

Zaiham (dua dari kiri) menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek.
Zaiham (dua dari kiri) menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

BENTONG - Polis menahan sepasang suami isteri selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pecah kedai dan kenderaan di sekitar daerah Bentong pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek berusia 31 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor, manakala isterinya, 37 tahun ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

Menurutnya, suspek ditahan selepas pihak polis memeriksa kenderaan dipandunya dan menemui beberapa barangan dilaporkan hilang seperti yang direkodkan di Balai Polis Genting Highlands.

"Hasil siasatan mendapati suspek terlibat dalam satu kes kejadian curi dalam bangunan dan tiga kes pecah kenderaan di Genting Highlands.

"Polis juga menemui dadah jenis syabu seberat 1.88 gram dan ganja seberat 3.25 gram pada badan suspek," katanya pada sidang akhbar di IPD Bentong pada Isnin.

Zaiham berkata, polis merampas wang tunai berjumlah RM400, lima telefon bimbit pelbagai jenama, perkakasan audio kenderaan, tiga beg mengandungi tiga rangkaian kunci, sebuah walkie talkie dan satu beg kulit dalam kenderaan suspek.

Zaiham ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada Isnin.
Zaiham ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada Isnin.

"Selain itu, polis menemui beberapa peralatan di dalam kenderaan suspek seperti alat pemotong wayar, testpen, pisau, drill, lampu suluh yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Polis juga menyita kereta jenis Perodua Bezza yang didakwa disewa oleh suspek bermula 29 November hingga 27 Januari tahun depan," katanya.

Beliau berkata, suspek didapati positif dadah selain mempunyai lima rekod lampau yang membabitkan tiga kes ragut dan masing-masing satu kes dadah serta imigresen.

Katanya, dengan penahanan pasangan ini, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah kedai dan kenderaan yang berlaku di Bentong.

"Pasangan ini akan direman tujuh hari di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek turut berdepan tuduhan tambahan berkaitan kes di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.