Kos purata tahunan anjur KMF RM3.18 juta

Mohd Shahar menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
Mohd Shahar menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Purata kos penganjuran Forum Khazanah Megatrends (KMF) secara tahunan sejak tempoh 2008 hingga 2021 adalah sebanyak RM3.18 juta.

Timbalan Menteri Kewangan Shahar Abdullah berkata, meskipun forum itu melibatkan perbelanjaan yang agak besar namun impak penganjuran forum itu adalah ketara.

"Manfaat daripada penganjuran KMF adalah sesuatu yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit memandangkan faedah yang diperoleh adalah jauh lebih besar daripada kos penganjuran yang perlu ditanggung," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) berhubung jumlah perbelanjaan dan kos keseluruhan penganjuran KMF dan kesannya terhadap landskap sosioekonomi Malaysia terutama untuk mengurangkan kesenjangan pendapatan dalam kalangan rakyat.

Berhubung kos purata melebihi RM3 juta, Shahar berkata, KMF yang mengetengahkan tokoh pemikir terkemuka dalam bidang masing-masing dari seluruh dunia itu tidak memberikan sebarang bayaran.

Beliau berkata, kos penganjuran KMF seperti kos pengurus acara, logistik, makanan dan minuman, penginapan, serta lain-lain perbelanjaan am (termasuk pengurusan sistem operasi dan teknologi maklumat) ditanggung sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

Mengulas mengenai kesan terhadap landskap sosioekonomi Malaysia, Shahar berkata, memandangkan KMF adalah merupakan majlis perkongsian ilmu, justeru kesannya kepada landskap sosioekonomi di Malaysia sukar untuk diukur dengan tepat.

"Namun, sebahagian besar daripada perbincangan di KMF adalah berkaitan isu sosial yang memberi kesan kepada segenap lapisan masyarakat dengan mengenal pasti dan memahami permasalahan di peringkat makro terlebih dahulu, sebelum dibincangkan secara terperinci kaedah mengatasinya dan seterusnya menambah baik usaha untuk menjana pertumbuhan dan pembangunan masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) sama ada kerajaan menggambil kira cadangan oleh institusi penyelidikan tempatan, Shahar berkata, hasil yang dicadangkan oleh Khazanah Research Institute (KRI) telah digunapakai oleh kerajaan.

Sebagai contoh, beliau berkata, hasil perbincangan dalam beberapa forum yang diadakan terdahulu berhubung isu ketidaksamaan, KRI dipertanggungjawab untuk melaksanakan kajian berkaitan permasalahan ini dengan lebih mendalam.

Hasilnya sehingga kini, KRI telah mengeluarkan pelbagai terbitan kajian mengenai ketidaksamaan di samping mencadangkan kaedah penyelesaian masalah melalui usaha meningkatkan pendapatan isi rumah.

"Apabila KMF lakukan majlis perkongsian ilmu, mereka cadang supaya wujudkan sebuah insitut penyelidikan yang dinamakan KRI dan apa sahaja perancangan, apa yang dilakukan kerajaan, dan dasar yang dilakukan kerajaan juga akan diambil kira oleh KRI untuk menyelidiki apakah impak dan kesan kepada rakyat,” katanya.- Bernama