10 individu ditahan buru babi luar kawasan dibenarkan

Siasatan mendapati kawasan buruan yang dibenarkan hanya di kawasan Serdang pada 2 September 2021. - Gambar hiasan.
Siasatan mendapati kawasan buruan yang dibenarkan hanya di kawasan Serdang pada 2 September 2021. - Gambar hiasan.
A
A
A

CYBERJAYA - Seramai 10 individu diberkas kerana disyaki memburu haiwan di luar kawasan dibenarkan di Jenderam Hulu, Dengkil di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, kesemua suspek diberkas kira-kira jam 7 petang.

"Kesemua suspek berumur 30 hingga 55 tahun itu ditahan bersama dua kenderaan pacuan empat roda dan seekor babi.

"Serbuan dijalankan selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai kegiatan menembak babi di Jalan Dato' Empat Abu Kampung, Jenderam Hulu," katanya ketika sidang akhbar di Balai Polis Cyberjaya di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua suspek diberkas bersama beberapa pucuk senapang patah.

"Pemeriksaan turut menemukan sepucuk senapang patah api jenis Benelli Armi SpA, 18 butir peluru, permit senjata dan permit memburu.

"Turut ditahan ialah dua pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan Ford Ranger," ujarnya.

Menurutnya, semakan permit senjata api mendapati ia dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan mendapati syarat tambahan diberikan untuk memburu babi hutan bermula Ogos sehingga Disember.

"Selain itu, kawasan buruan yang dibenarkan hanya di kawasan Serdang pada 2 September 2021," katanya.

Tambah beliau, siasatan dijalankan turut mendapati hanya seorang daripada suspek mempunyai permit senjata dan permit memburu.

"Kesemua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Senjata Api 1960," katanya.