Pemilik akaun Facebook 'Alika Aqib' dipanggil polis

Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar
Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemilik akaun Facebook 'Alika Aqib' dipanggil polis untuk membantu siasatan selepas didapati menyebar berita konon kediamannya di Kampung Bukit Besar di sini dipecah masuk dan menyebabkan dia kehilangan barang kemas anggaran bernilai RM50,000.

Dalam kenyataan tersebut yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu, beliau menyatakan kejadian berlaku antara jam 3 hingga 5 pagi yang turut melibatkan tujuh buah rumah di kawasan sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, hasil semakan dibuat pihaknya mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat oleh individu berkenaan selain turut mendapati tiada kejadian pecah rumah dilaporkan dalam tempoh tiga bulan sebelumnya di sekitar Bukit Besar, di sini seperti di dakwa dalam kenyataan tersebut.

"Kami telah memanggil pemilik akaun Facebook tersebut untuk siasatan lanjut dan beliau mengesahkan tidak pernah membuat laporan polis berkaitan kejadian yang tular berkenaan sebaliknya hanya membuat laporan selepas dipanggil polis untuk siasatan.

"Kes berkenaan kini sedang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Mohd Marzukhi berkata, implikasi daripada kenyataan dibuat pemilik akaun berkenaan mendatangkan kegusaran dan keresahan kepada penduduk Kampung Bukit Besar, di sini.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang tidak sahih dan tidak benar bagi menjaga ketenteraman awam," ujarnya.

Artikel Berkaitan: