Tiada perancangan ganti Pendidikan Moral dengan Perpaduan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tiada perancangan untuk menggantikan mata pelajaran Pendidikan Moral dengan mata pelajaran Perpaduan buat masa ini.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, Pendidikan Moral merupakan mata pelajaran teras untuk murid yang tidak menganut agama Islam berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 seperti termaktub di dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

”Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) tahun 2013-2025 mengesyorkan kurikulum Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam memberi lebih tumpuan kepada pemahaman mengenai nilai universal, perpaduan dan hubungan baik sesama insan.

”KPM telah melaksanakan penambahbaikan secara bersepadu dengan memberi lebih tumpuan kepada elemen perpaduan dalam aspek kurikulum, strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta bahan sokongan,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) yang bertanyakan mengenai pelan memperkenalkan mata pelajaran Perpaduan bagi murid sekolah rendah dan menengah bagi menggantikan Pendidikan Moral.

Mengulas lanjut, Hang Soon berkata, elemen perpaduan dalam kurikulum Pendidikan Moral diterjemahkan secara eksplisit dan diperkembangkan melalui tema dan bidang yang khusus.

”Tema dan bidang yang diajar bukan sahaja memberi tumpuan kepada kandungan tetapi dikaitkan juga dengan konstruk perpaduan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, strategi PdP seperti Pembelajaran Penyelesaian Masalah, Pembekalan Khidmat Masyarakat dan Pembelajaran Berasaskan Projek dilaksanakan bagi meningkatkan penerapan dan pemantapan elemen perpaduan dalam Pendidikan Moral.

Artikel Berkaitan:

”Strategi PdP ini bukan sahaja melibatkan semua warga sekolah malah turut melibatkan masyarakat sekeliling selari dengan konsep 'whole of school' (seluruh sekolah) dan 'whole of society' (seluruh masyarakat) kerana perpaduan adalah tanggungjawab kita bersama.

”KPM juga menghasilkan bahan sokongan untuk memantapkan amalan perpaduan dalam kalangan murid iaitu Buku Panduan Pelaksanaan Memperkukuh Perpaduan Melalui Mata Pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dalam Kurikulum.

”Buku panduan ini menjadi rujukan guru Pendidikan Moral untuk memperkukuh perpaduan secara terancang melalui pelbagai cadangan aktiviti PdP di dalam dan luar bilik darjah,” jelas beliau.