PRN Sarawak: Uggah berdepan calon PKR, PBS

Datuk Amar Douglas Uggah Embas
Datuk Amar Douglas Uggah Embas
A
A
A

SPAOH - Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berdepan saingan tiga penjuru dengan calon PKR dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban.

Uggah, yang merupakan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), akan dicabar oleh Mikail Mathew Abdullah (PKR) dan Andria Dundang @ Andria Gelayan (PSB).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bukit Saban, Charlie Keling membuat pengumuman itu selepas proses penyerahan borang pencalonan selesai di pusat penamaan calon (PPC) di Pejabat Daerah Kecil Spaoh di sini.

“Saya sudah semak dan berpuas hati serta tiada calon ditolak kertas penamaannya," kata beliau.

Terdahulu, Uggah yang diiringi Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat sebagai pencadang dan seorang penyokong, tiba di PPC itu pada jam 8.20 pagi.

Mikail merupakan calon pertama yang tiba di PPC pada 7.50 pagi manakala Andria muncul 20 minit kemudian, masing-masing diiringi pencadang dan penyokong.

Pada PRN 2016, Uggah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN)-PBB, menang kerusi Bukit Saban selepas memperoleh majoriti 4,599 undi menewaskan calon PKR Noel Changgai yang hanya mendapat 925 undi.

Proses penamaan calon berlangsung tanpa kehadiran penyokong parti bagi mematuhi prosedur operasi standard pencegahan jangkitan Covid-19 dan individu yang ingin memasuki PPC harus melakukan ujian RTK.

Artikel Berkaitan:

Anggota dan pegawai polis turut melaksanakan kawalan keselamatan di PPC bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my