IWK ambil alih pembentungan MBJB dan MBPG

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor telah bersetuju menjalinkan kerjasama untuk menaiktaraf dan meningkatkan mutu perkhidmatan pembetungan di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Kerjasama ini melibatkan penyerahan perkhidmatan pembetungan di kedua-dua kawasan ini kepada Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan agensi di bawah kawalselia Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Dengan pengambilalihan ini, IWK akan beroperasi di kedua-dua kawasan mulai 1 Disember 2021. IWK akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan 191 loji rawatan kumbahan iaitu 147 di MBJB dan 44 di MBPG, yang melibatkan populasi setara (PE) sebanyak 1.46 juta penduduk.

Pada masa yang sama, IWK juga akan menyediakan perkhidmatan menyahenap cemar kepada kira-kira 293,236 buah tangki septik individu serta tangki tradisional di kedua-dua kawasan.

Oktober lepas, satu perjanjian kolaborasi pengambilalihan sistem pembetungan awam di MBJB dan MBPG telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Johor Special Water (JSW) Sdn Bhd, Tuan Haji Zulkiflee Haji Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Encik Narendran Maniam.

Majlis berkenaan telah disaksikan oleh YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air dan YAB Datuk Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor.

Melalui kolaborasi ini, mutu dan kualiti perkhidmatan pembetungan khasnya dari aspek pematuhan kepada standard pelepasan efluen terawat Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kualiti perkhidmatan dapat ditingkatkan secara berperingkat.

Pengalaman dan kepakaran teknikal IWK sebagai syarikat pembetungan nasional mampu memastikan aset-aset pembetungan dioperasi dan diselenggara secara optimum sekali gus mengurangkan ganggu kacau kepada penduduk dan menyokong kelestarian alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif ini juga dapat mengawal pencemaran sumber air oleh efluen yang tidak dirawat dengan sempurna ke atas 18 sungai utama termasuk Sungai Skudai, Sungai Kim-Kim dan Sungai Masai.

No Image Caption

Sewaktu majlis menandatangani perjanjian kolaborasi tersebut, Yang Berhormat Menteri KASA, Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, menyatakan, MBJB dan MBPG akan mendapat geran daripada Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan pembetungan seperti baik pulih loji, sistem penyaluran dan pembinaan rawatan kumbahan berpusat dengan dengan penyerahan rezab tapak pembetungan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, KASA komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pembetungan negara selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Ke-6 iaitu memastikan akses kepada air bersih dan sanitasi secara menyeluruh.

Sektor pembetungan juga adalah salah satu komponen kritikal dalam merealisasikan Transformasi Sektor Air 2040 dan disokong melalui pelaksanaan projek pembetungan dengan jumlah peruntukan hampir RM3 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Encik Narendran Maniam menyatakan, dengan pengalaman dan kepakaran teknikal IWK selama 27 tahun, IWK akan memastikan aset-aset pembetungan dioperasi dan diselenggarakan secara optimum.

“IWK berharap dengan pengambilalihan ini, sistem kumbahan dapat dijaga dengan baik dan dapat mengurangkan pencemaran sumbar air oleh air sisa kumbahan yang tidak dirawat dengan baik yang mengalir masuk ke sungai-sungai utama di kedua-dua kawasan Majlis Bandaraya tersebut terutamanya Sungai Kim-Kim, Sungai Masai dan Sungai Skudai,” kata Narendran.

Menurut beliau lagi, IWK bersama JSW, anak syarikat milik Permodalan Darul Takzim memerlukan tempoh masa untuk membaik pulih kesemua aset pembetungan awam di kedua-dua kawasan ini. Namun, IWK akan mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan aset pembetungan beroperasi sebaik yang mungkin.

Bagi perhidmatan menyahenap cemar pula, Warta Kerajaan Persekutuan telah berkuatkuasa Mac lalu dan menetapkan bahawa pemilik atau penghuni mestilah bertanggungjawab memastikan tangki septik mereka berada dalam keadaan baik.

Melalui Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 ini, IWK sebagai syarikat pembetungan nasional, akan menguruskan penjadualan nyahenap cemar ke atas premis-premis yang bersambung dengan tangki septik dengan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pengguna.

IWK menyediakan perkhidmatan nyahenap cemar mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) di bawah Seksyen 65 (1)(c), dimana, pemilik tangki septik perlu mengosongkan tangki septik individu sekurang-kurangnya dua tahun sekali mengikut saiz tangki dan saiz isi rumah. Ini adalah untuk memastikan tangki septik tersebut dapat berfungsi dengan baik dan tidak mencemarkan alam sekitar atau kesihatan awam.

Pada masa yang sama, JSW menjadi pemegang permit bagi menjalankan kerja-kerja nyahenap cemar di bawah seliaan IWK di kedua-dua kawasan tersebut.

Tambah Narendran, IWK akan terus komited dalam usaha melaksanakan mandatnya untuk mengendali dan menyelenggara sistem pembetungan awam dengan cekap.

Kepada pengguna di kawasan MBJB dan MBPG yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai urusan pengebilan, boleh hubungi talian 03-20832828. Sebarang maklumat lanjut, boleh hubungi pejabat operasi IWK di talian 07-511 4983 atau layari laman web rasmi iwk.com.my.