Hilang cukai RM281.69 juta akibat penyeludupan rokok, minuman keras

Mohd Shahar
Mohd Shahar
A
A
A

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan sebanyak 2,518 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak sah bernilai RM41.43 juta dengan jumlah kehilangan cukai RM281.69 juta sehingga September lalu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, bagi tahun 2020, jumlah kes rampasan adalah sebanyak 2,842 kes yang keseluruhannya bernilai RM97.34 juta melibatkan nilai kehilangan cukai RM707.14 juta.

“Dalam usaha membendung ketirisan hasil cukai akibat aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras, pihak JKDM sentiasa mempergiatkan kawalan dan tindakan penguatkuasaan melalui pelbagai aktiviti serbuan, rondaan darat dan air, sekatan jalan raya, pemeriksaan kapal, bot atau kenderaan.

“Di samping itu, pelbagai operasi khas dan operasi outlet rokok dan minuman keras turut dijalankan,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) tentang berapa jumlah kerugian hasil negara akibat daripada aktiviti penyeludupan haram termasuk arak dan rokok serta apakah langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah serius ini.

Mohd Shahar dalam masa yang sama turut menggariskan beberapa usaha yang diambil oleh JKDM bagi menangani aktiviti penyeludupan terbabit.

“Pertama, menyertai Operasi Portcullis dengan menghantar alert notification (pemberitahuan amaran) kepada pihak kastam di negara jiran seperti Thailand bagi membuat pengesahan dagangan eksport syarikat.

“Kedua, merangka kaedah operasi yang lebih dinamik seperti Operasi Sepadu Marin Kastam mengikut tempoh masa tertentu dan memberi fokus kepada sektor operasi laut.

Artikel Berkaitan:

“Ketiga, mengadakan Ops Benteng melalui pelaksanaan sekatan jalan raya bersama agensi penguat kuasa di sepanjang Pantai Timur Semenanjung bagi menyekat rantaian pergerakan barangan di jajaran tersebut,” katanya.

Selain itu katanya, antara usaha lain adalah seperti melaksanakan Ops Pacak di tempat-tempat yang telah dikenal pasti sebagai hotspot (kawasan panas) dengan tujuan memutuskan rantaian penyeludupan.

“Kelima, menyediakan mesin pengimbas bagi setiap proses inbound dan outbound di seluruh negara yang dikendalikan oleh pegawai kastam ataupun kendalian bersama dengan pegawai operator yang ditugaskan bagi tujuan mengesan aktiviti penyeludupan,” jelasnya.