X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Aktivis belia Sarawak GPS dalam saingan empat penjuru di Tellian

Calon-calon bagi DUN Tellian (dari kiri) calon bagi PKR Mohd Arwin Lim Abdullah, calon bagi Parti Bumi Kenyalang Zainuddin Budug, calon bagi GPS Royston Valentine dan calon bagi PSB Sait Junaidi. - Foto Bernama
A
A

MUKAH - Muka baharu yang diketengahkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian kali ini, Royston Valentine, akan terbabit dalam saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-12 ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, DUN Tellian Peleadzman Ahip mengumumkan senarai calon yang layak bertanding di kawasan berkenaan sejurus selepas proses penamaan calon selesai, di Menara Pehin Setia Raja sini.

Royston, 35, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Pemuda PBB akan ditentang calon PKR iaitu Ketua Cabang PKR Mukah Mohd Arwin Lim Abdullah, 34; Zainuddin Budug, 56, daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Sait Junaidi, 57, mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Sebelum itu, Royston merupakan calon terawal menyerahkan borang pencalonan sejurus pusat penamaan calon dibuka, diikuti dengan Mohd Arwin Lim Abdullah, Zainuddin dan Sait.

Proses penyerahan borang pencalonan yang dilakukan dengan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 itu selesai dalam tempoh 20 minit.

Royston, ialah antara 24 muka baharu dan calon muda yang diketengahkan GPS kali ini.

Beliau merupakan aktivitis belia dalam hal ehwal belia dan pernah menjadi Ahli Parlimen Belia Negeri Sarawak (2014-2016), selain ketika ini menyandang jawatan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

"Saya akan meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang di kawasan ini,” katanya kepada pemberita.

DUN Tellian, kawasan dengan penduduk majoriti Melanau adalah satu daripada 11 kerusi baharu pada pilihan raya lepas susulan proses persempadanan semula dan memiliki seramai 10,059 pemilih berdaftar.

Pada PRN ke-11, Yussibnosh Balo memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti undi 4,421 atas tiket Barisan Nasional-PBB dalam pertarungan satu lawan satu dengan calon PKR, Asini @Hasni Yahya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!