Salah gesa Liverpool selesai isu kontrak segera

Mohamed Salah
Mohamed Salah
A
A
A

TONGGAK Liverpool, Mohamed Salah sekali lagi mengulangi hasratnya untuk kekal di Anfield, dan menggesa Liverpool menyelesaikan segera isu kontrak yang mendapat perhatian kelab La Liga Barcelona.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, memaklumkan sebelum ini tiada maklumat terkini mengenai rundingan perjanjian baharu untuk Salah dan pemain Mesir itu juga mengesahkannya dalam temu bual dengan stesen TV di negara asalnya pada hujung minggu lalu.

Salah memasuki 18 bulan terakhir kontraknya menyaksikan pengendali Barcelona, Xavi begitu teruja untuk membawa penyerang utama Liverpool itu ke Nou Camp.

Bekas bintang Chelsea dan AS Roma itu sebelum ini menyatakan hasrat untuk kekal di Anfield, namun pengurusan Liverpool mengakui kelab tersebut terpaksa mengemukakan kontrak yang lumayan dalam sejarah The Reds bagi mencerminkan status pemain berkenaan.

“Keputusan di tangan pengurusan Liverpool dan mereka perlu menyelesaikan isu ini dengan segera.

“Sejujurnya tiada masalah tetapi kami perlu mencapai persetujuan untuk kontrak itu segera, namun semuanya kini terpulang kepada mereka.

“Nilai kewangan anda menunjukkan betapa kelab menghargai anda dan mereka bersedia melakukan apa sahaja untuk anda kekal, tetapi keputusan itu sendiri tidak berdasarkan perkara kewangan tersebut sahaja," ujar Salah.

Mengenai desas-desus ke Barcelona, Salah menambah: "Saya membaca perkara yang dikatakan mengenai minat Xavi untuk menandatangani saya.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah sesuatu yang menggembirakan kerana kelab seperti Barcelona berminat dengan saya, tetapi saya gembira di Liverpool dan kita akan lihat apa yang berlaku pada masa hadapan.

"Pada masa ini, saya lebih suka kekal dalam Liga Perdana Inggeris kerana ia adalah liga terkuat di dunia."