Polis Perak kutip lebih RM1 juta bayaran saman

Orang ramai mengambil peluang membayar saman trafik sempena pengurangan 50 peratus di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
Orang ramai mengambil peluang membayar saman trafik sempena pengurangan 50 peratus di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
A
A
A

IPOH - Polis Perak mengutip RM1.04 juta dalam tempoh tiga hari hasil pembayaran saman lalu lintas selepas diskaun 50 peratus yang ditawarkan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Azizan Hassan berkata, kutipan itu bermula 1 hingga 3 Disember lepas pada hari bekerja.

Menurutnya, jumlah berkenaan membabitkan 9,000 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

"Bayaran saman itu dikutip di semua kaunter saman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri ini.

"Dalam tempoh tiga hari pertama tawaran diskaun itu, sebanyak RM1.04 juta bayaran saman berjaya dikutip melibatkan hampir 3,000 pembayar saman," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Azizan berkata, orang ramai yang mempunyai saman lalu lintas boleh membuat semakan dan pembayaran sehingga tarikh akhir iaitu 30 Disember ini.

"Kaunter bayaran hanya dibuka pada hari bekerja sahaja dari jam 9 pagi hingga 4 petang," katanya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak mengadakan pengurangan saman trafik 50 peratus dengan bayaran boleh dibuat di semua kaunter saman trafik PDRM Perak.

Artikel Berkaitan:

Saman yang dikecualikan daripada tawaran itu ialah saman kemalangan tahun 2021, saman tidak boleh kompaun (NC), berstatus bicara mahkamah, berkaitan kenderaan motolori dan kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan.

Selain itu, empat kesalahan tahun 2021 lain adalah memotong secara berbahaya atau potong ‘Q’, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat merah dan memotong di garisan berkembar.