Usahawan agih 150 kotak makanan percuma

Ashwad (kanan) menyerahkan kotak maknan kepada Che Meriam di Taman Merdeka Batu Berendam di sini, pada Isnin.
Ashwad (kanan) menyerahkan kotak maknan kepada Che Meriam di Taman Merdeka Batu Berendam di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Pengalaman pernah melalui hidup serba kekurangan mendorong seorang usahawan membantu penduduk yang terhimpit dengan kenaikan harga barang terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.

Ashwad Abd Rahim, 29, mengagihkan sebanyak 150 kotak makanan kepada penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang dengan menghulurkan bantuan barangan keperluan dari rumah ke rumah.

Anak jati Batu Berendam itu berkata, beliau bersama beberapa individu lain mengagihkan kotak berisi beras dan ayam segar kepada beberapa penduduk miskin termasuk termasuk warga emas, pesakit kronik dan mereka yang diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.

"Ramai lagi penduduk yang terhimpit dalam situasi sekarang dan kita mahu aktiviti bantuan seperti ini diteruskan selagi harga barang dan kes harian Covid-19 terus meningkat," katanya ketika ditemui di Taman Merdeka di sini, pada Isnin.

Ketika menyampaikan bantuan, kumpulan Ashwad turut menawarkan khidmat membantu golongan tidak berkemampuan membuat permohonan mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Sementara itu penerima, bekas pekerja kilang, Zarith Sofea Mohamad, 19, berkongsi hidupnya yang umpama sudah jatuh ditimpa tangga selepas diberhentikan kerja dan ibunya, Zainab Hashim, 54 tahun, pula dijangkiti Covid-19 tahap lima.

Lebih menyukarkan kata Zarith Sofea, dia merupakan anak tunggal dan perlu berusaha menjaga kedua ibu bapanya.

"Syukur masih ada yang prihatin dan kehadiran usahawan berkenaan membawa sumbangan makanan dapat meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Warga emas, Che Meriam Che Coob, 64, tidak menyangka ada individu yang bukan tergolong daripada wakil rakyat atau pemimpin politik datang ke rumahnya untuk menyalurkan bantuan.

Ujarnya, keadaannya yang uzur dan terpaksa menjaga tiga cucu menyebabkan dia tidak lagi mampu keluar rumah untuk mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

"Saya sukar untuk keluar membeli barang apatah lagi pula ubat-ubatan, terima kasih kepada penyumbang," katanya.