Himpunan LGBT disiasat Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membuka siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 41 Akta Hasutan 1948 berhubung himpunan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di ibu kota pada Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, terdapat tujuh individu yang dikenalpasti memberi ucapan dalam perhimpunan tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun buat masa ini tiga daripada mereka terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki telah dikesan dan akan hadir memberi keterangan kepada polis.

"Mereka ini akan hadir dalam masa terdekat untuk beri keterangan.

"Siasatan masih dijalankan dan kes ini telah dirujuk kepada Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-undang) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, orang ramai perlu memahami bahawa berkumpul secara beramai-ramai seumpama itu akan menjejaskan aktiviti dan pergerakan masyarakat sekitar dan gangguan lalu lintas.

Noor Rashid berkata, orang ramai seharusnya mengikut undang-undang ditetapkan, walaupun mendakwa ada hak membawa isu dalam himpunan berkenaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan himpunan bersempena Hari Wanita Sedunia di ibu kota dicemari kehadiran penyokong LGBT.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, seramai 1,000 peserta terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Women Aid Organisation (WAO), Sisters in Islam (SIS), aktivis dan pelajar menyertai himpunan itu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah menegaskan bahawa himpunan diadakan tidak mendapat kebenaran polis.