X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Jumlah keciciran murid tahun 2018 lebih tinggi

Hang Soon menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan jumlah keciciran murid tahun 2018 lebih tinggi berbanding 2020 dan 2021.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, bagi Mac hingga Disember 2020, murid yang berhenti sekolah seramai 11,301 orang.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai 2021, seramai 10,015 orang murid direkodkan berhenti sekolah. Jumlah keseluruhan murid yang berhenti persekolahan pada Mac 2020 hingga Julai 2021 adalah 21,316 orang.

“Berbanding tahun 2018, jumlahnya 34,074 orang. Maksudnya, untuk tahun-tahun sebelumnya, angka tersebut lebih tinggi dari jawapan yang telah diberikan kepada YB Kangar (Noor Amin Ahmad),” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) berhubung inisiatif kerajaan bagi menangani murid tercicir kerana Covid-19.

Hang Soon menambah, bagi menurunkan kadar keciciran dalam kalangan murid, antara tindakan KPM ialah menggerakkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengesan murid yang tidak hadir semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan semasa sekolah dibuka semula.

“Kedua, menyediakan perkhidmatan bimbingan dan sokongan psikososial melalui pelbagai kaedah dan mengadakan perbincangan antara ibu bapa atau penjaga murid untuk mengenalpasti sebab dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menangani murid yang kurang minat belajar.

“Pada masa sama, kita melaksanakan intervensi murid risiko cicir pengajaran dan pembelajaran di peringkat JPN dan PPD. Intervensi ini melibatkan sektor pengurusan pembelajaran, sektor pengurusan sekolah, pembangunan murid dan sebagainya,” jelasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!