Dagangan di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

Indeks utama FBM KLCI memulakan urus niaga minggu ini rendah seiring dengan sentimen negatif di Wall Street berikutan kebimbangan yang berterusan mengenai perkembangan varian Omicron Covid-19.
Indeks utama FBM KLCI memulakan urus niaga minggu ini rendah seiring dengan sentimen negatif di Wall Street berikutan kebimbangan yang berterusan mengenai perkembangan varian Omicron Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR -Indeks utama FBM KLCI memulakan urus niaga minggu ini rendah seiring dengan sentimen negatif di Wall Street berikutan kebimbangan yang berterusan mengenai perkembangan varian Omicron Covid-19.

Pada jam 9.25 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.78 mata kepada 1,496.96 daripada 1,501.74 ketika penutupan petang Khamis minggu lepas.

Indeks utama dibuka 1.92 mata lebih tinggi pada 1,503.66.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 373 berbalas 195 sementara 322 kaunter tidak berubah, 1,386 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 543.26 juta unit bernilai RM318.09 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pelabur menjangkakan peralihan dalam tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat ke arah pendirian yang lebih cenderung untuk menaikkan kadar faedah dalam dasar monetarinya pada masa hadapan.

"Memandangkan pandangan bahawa Fed mungkin lebih memihak kepada pertumbuhan ekonomi dalam bergerak ke hadapan, pelabur dijangka mengelakkan saham teknologi dan beralih kepada saham nilai untuk tempoh terdekat dengan memfokuskan kepada saham wajaran tinggi.

"Sementara itu, Baltic Exchange Dry Index telah menunjukkan peningkatan minggu lepas dan ini boleh menyokong sektor pengangkutan buat masa ini,” katanya dalam satu catatan.

Artikel Berkaitan:

Di pasaran komoditi, harga minyak sawit mentah bergerak sekitar RM4,650 sementara harga minyak mentah pada AS$73 setong.

Di pasaran domestik, Top Glove dan MISC, masing-masing kerugian 11 sen kepada RM2.70 dan RM6.41, Petronas Gas susut 12 sen kepada RM16.46, Hartalega lebih rendah 17 sen kepada RM6.01 sementara Sime Darby Plantation lega enam sen kepada RM3.73.

IHH pula meningkat enam sen kepada RM6.64 manakala Maybank menambah tiga sen kepada RM7.98.

Bagi saham aktif, EA Holdings tidak berubah pada dua sen, Impiana Hotels lebih tinggi setengah sen kepada sembilan sen, ATA IMS menokok satu sen kepada 45.5 sen dan VS Industry mengembang tujuh sen kepada RM1.22.

TH Heavy Engineering jatuh setengah sen kepada satu sen dan KNM tidak berubah pada 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 28.07 mata kepada 10,910.84, Indeks FBMT 100 susut 28.84 mata kepada 10,616.91, dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 51.66 mata pada 11,863.24.

FBM 70 susut 18.39 mata kepada 14,111.64 dan FBM ACE turun 71.11 mata kepada 6,342.47.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih rendah 0.33 mata kepada 192.84, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 23.39 mata kepada 14,999.50 dan Indeks Perladangan berkurangan 43.26 mata kepada 6,432.15.- Bernama