Cara baharu hasilkan ikan masin

Rumah pengering pintar lutsinar, inovasi baharu diperkenalkan itu berjaya meningkatkan produk ikan masin yang diusahakan Muhammad Asri.
Rumah pengering pintar lutsinar, inovasi baharu diperkenalkan itu berjaya meningkatkan produk ikan masin yang diusahakan Muhammad Asri.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Sekadar mencuba berniaga secara kecil-kecilan ikan masin yang diusahakan bersama keluarga, kini usahanya membuahkan hasil apabila perniagaannya mula dikenali.

Pemilik Ombak Damai Trading, Muhammad Asri Dahali, 46, berkata, dia menjalankan perniagaan itu sejak tujuh tahun lalu kerana minatnya menangkap ikan di sekitar kawasan Tanjung Piandang.

Menurutnya, dia pernah menjual apam balik di Chow Kit, Kuala Lumpur nekad meninggalkan kerjanya itu untuk pulang ke kampung halaman di Kampung Sungai Baharu di sini.

“Sudah 20 tahun saya berniaga apam balik di kawasan Chow Kit, saya berasa bosan dan beralih angin dengan jual ikan-ikan masin di kampung pula.

“Saya teruskan jualan itu secara tradisional. Walaupun secara kecil-kecilan sahaja tetapi ia mencukupi untuk menampung keluarga,” katanya.

Jelasnya, dia mengusahakan ikan kering jenis belanak, talang, kembung, duri dan gelama serta ikan pekasam.

Muhammad Asri menunjukkan ikan belanak masam yang diusahakannya.
Muhammad Asri menunjukkan ikan belanak masam yang diusahakannya.

Muhammad Asri berkata, penghasilan ikan kering menggunakan kaedah konvensional iaitu menjemur dikaitkan dengan isu kebersihan dan kekangan cuaca.

Artikel Berkaitan:

“Masalah lalat dan serangga itu memang tidak dapat dielakkan. Pelbagai usaha dibuat termasuk pasang jaring tapi tidak berkesan 100 peratus.

“Cuaca pula tidak menentu kadang boleh dapat keringkan 500 kilogram ikan sebulan. Apabila dijemur, kita tidak boleh tinggalkannya kerana takut ikan-ikan ini rosak,” katanya.

Teknologi baharuMuhammad Asri berkata, dia kini tidak perlu bergantung kepada proses menjemur apabila mempunyai rumah pengering pintar atau i-Sun Dryer yang dilengkapi dengan sistem internet kebendaan (IoT).

Katanya, inovasi yang diperkenalkan oleh kumpulan daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang itu menjadi perintis kepada kejayaannya.

“Walaupun baharu dilaksanakan lima bulan lalu, rumah pengering itu berjaya meningkatkan produktiviti sehingga 10 tan ikan kering berbanding kaedah jemur dalam tempoh sebulan.

Muhammad Asri memeriksa kualiti ikan belanak masam yang dikeringkan menerusi rumah pengering pintar.
Muhammad Asri memeriksa kualiti ikan belanak masam yang dikeringkan menerusi rumah pengering pintar.

“Lebih 300 kilogram ikan dapat dijemur seharian sebelum dibungkus. Produk pun lebih bersih apabila dijemur dalam rumah lut sinar dan tidak terdedah kepada lalat serta habuk. Masalah cuaca pun bukan satu halangan lagi,” katanya.

Jelasnya, kadar pengeringan bahan makanan turut menjadi seragam apabila keseluruhan proses dikawal dengan teknologi baharu itu.

Muhammad Asri berkata, produknya kini dijual di pasaran seluruh Pulau Pinang dan Perak melibatkan lebih 70 kedai runcit.

“Kita turut menjual secara dalam talian di Facebook dan WhatsApp dan dihantar ke Johor, Melaka dan negeri Pantai Timur.

“Produk ini sering dijadikan oleh-oleh oleh pengunjung yang hadir. Sehingga kini, kita menerima permintaan tinggi terhadap produk ikan masin ini,” katanya.

Asri berhasrat membina sebuah kilang pengeluaran produk hiliran itu dengan teknologi sama memperluaskan perniagaan sehingga ke luar negara.