Antara isu keciciran pelajar, pepecahan parti-parti politik Melayu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Penangguhan peralihan fasa endemik menyaksikan negara terus berdepan isu-isu besar impak daripada pandemik Covid-19, dan terbaharu seramai 21,316 pelajar di negara ini dilaporkan telah berhenti sekolah sejak Mac 2020 hingga Julai tahun ini.

Perkara yang mengejutkan itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik, yang memuat naik di Twitter jawapan bertulis Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Mohd Radzi Md Jidin sebagai respons soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad di Parlimen.

Maszlee menzahirkan rasa terkejut dan bimbang dengan mempersoalkan apakah sebenarnya yang sedang berlaku di negara ini.

Isu yang dibangkitkan itu tentunya memberi impak besar terhadap kerajaan yang selama ini terus diasak dengan isu pemerkasaan pendidikan lebih-lebih lagi soal keberkesanan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

Masalah alat peranti PdPR kepada golongan tidak mampu dan keboleh capaian internet di kawasan luar bandar adalah perkara yang masih diungkit banyak pihak.

Perkembangan itu juga dilihat tidak begitu ‘manis’ ketika parti-parti kerajaan masih terus membahaskan soal pendirian untuk tidak mewujudkan kerjasama antara satu sama lain.

Ini setelah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, semalam menegaskan menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bersama dalam gagasan Muafakat Nasional (MN).

Mohamad mengingatkan Pas bahawa MN tidak ditubuhkan dengan matlamat Bersatu mesti menjadi sebahagian darinya, bahkan MN ditubuhkan adalah untuk menentang Pakatan Harapan (PH) yang Bersatu ketika itu menjadi komponennya.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa UMNO memungkiri piagam MN dan Pas akan menolak MN jika UMNO enggan menerima Bersatu menyertai gagasan itu.

Bagaimanapun, Mohamad menjelaskan untuk memaksa UMNO menerima Bersatu adalah bercanggahan dengan semangat sebenar MN itu diasaskan.

Keadaan itu ibarat memberi gambaran lebih jelas sebagai mana yang disebut-sebut banyak pihak bahawa MN kini ibarat retak menanti belah.

Namun sebesar mana keretakan yang berlaku mampu membelah gagasan itu, masih sukar dijangka.

Apa yang lebih penting, adalah disebalik ‘tayangan’ konflik antara kerjasama UMNO, Pas dan Bersatu, rakyat sebenarnya bersedia untuk menghala alat kawalan jauh bertukar ke ‘tayangan’ lebih penting, iaitu nasib pelajar-pelajar yang tercicir daripada mendapat hak pendidikan yang sewajarnya.