Rayu tak mahu PKP lagi

No Image Caption
A
A
A

TIDAK lama lagi cuti sekolah akan bermula, maka ramai ibu bapa membuat perancangan untuk membawa anak-anak bercuti.

Tidak kisah dekat atau jauh asalkan waktu cuti sekolah dapat dimanfaatkan dengan aktiviti yang menggembirakan mereka.

Namun perlu diingatkan bahawa perkara utama yang perlu diambil kira ketika hendak bercuti adalah lokasi yang ingin dikunjungi mestilah selamat dan sentiasa beringat bahawa Covid-19 itu masih ada.

Dengan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini terdapat lokasi pelancongan dalam negara yang tidak sesuai untuk dikunjungi dan tidak digalakkan untuk dilawati buat sementara waktu.

Justeru hati-hatilah dalam memilih lokasi untuk beriadah dan keselamatan diri dan keluarga wajib jadi keutamaan.

Perkara kedua ialah varian baharu Covid-19, Omicron yang sudah memasuki negara ini.

Menurut laporan, varian tersebut mudah menjangkiti golongan sihat yang tidak berisiko.

Namun rakyat diminta supaya bertenang dan sentiasa patuh dengan prosedur operasi standard (SOP).

Artikel Berkaitan:

Antara perkara penting ialah menggelakkan berada di lokasi sesak, sentiasa memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan berdisiplin.

Bagaimanapun, yang agak dikesalkan pada masa ini, ialah SOP dilakukan kerana tidak mahu didenda.

Contoh paling jelas, lokasi kegemaran rakyat Malaysia untuk melepak pada waktu malam sudah pastinya restoran mamak sentiasa penuh dengan pelanggan.

Siap sambung meja, tambah kerusi seolah-olah negara kita sudah bebas sepenuhnya daripada wabak ini.

Facemask ada, tetapi letaknya di dagu.

Ini mencetuskan kebimbangan sehingga ada yang bertanya, bakal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagikah kita?

Terus terang jika boleh, janganlah ada PKP lagi.

Memadai dahulu dengan perketatkan kembali beberapa syarat-syarat yang boleh diguna pakai untuk kebaikan bersama seperti waktu operasi kedai-kedai kembali dihadkan, kekalkan sistem penggiliran di tempat kerja dan lain-lain yang tidak terlalu membebankan rakyat.

Semoga usaha ini dapat membendung penyebaran Omicron dan dalam masa sama membantu rakyat meneruskan kehidupan yang baharu sahaja hendak bernafas semula.