X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Berhenti kerja jaga abang ipar, anak saudara OKU

Keperitan Wazir (dua dari kanan) bersama isteri, Duriah (kiri) menjaga anak saudara mereka yang OKU mendapat perhatian daripada Pengerusi YES Perak, Nor Raidah Awang (kanan).
A
A

TAPAH - Seorang warga emas sanggup berhenti kerja sebagai pekerja kontrak demi menjaga abang ipar dan anak saudaranya yang tidak terurus di Kampung Lubuk Katak di sini.

Wazir Mohd Saie, 63, berkata, keputusan itu dibuat selepas abang iparnya, Mokhtarudin Rashid, 70, mengalami masalah mental akibat kemalangan jalan raya pada Februari lalu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan Mokhtarudin tidak dapat menjaga anaknya, Mohamad Farid, 41, yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

"Abang ipar mengalami keretakan tulang muka selepas terbabas ketika pulang menziarahi kubur isterinya dan seorang lagi anak mereka yang meninggal pada Disember tahun lalu.

"Mohamad Farid pula perlu perhatian sepanjang masa kerana sering diserang sawan. Jadi saya dan isteri, Duriah Rashid, 66, terus mengambil keputusan menjaga mereka," katanya ketika menerima kunjungan daripada Yayasan Era Suria (YES) Sukarelawan Perak di sini pada Ahad.

Wazir berkata, kini dia hanya bekerja dengan mengambil upah daripada penduduk kampung bagi menampung keperluan harian yang mencecah RM1,500 sebulan.

"Saya ambil upah menebas rumput dan kerja kebun milik penduduk. Saya tidak boleh bekerja jauh kerana mereka berdua perlu dibantu untuk mandi dan suap makanan," katanya.

Wazir berkata, Mohamad Farid mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.

"Bantuan itu tidak mencukupi untuk membeli barang keperluan serta mendapatkan rawatan hospital setiap bulan.

"Kami perlu upah rakan untuk membawanya kerana saya tidak mempunyai lesen kereta. Walaupun tidak pernah terputus makanan, saya bersyukur wakil penduduk sering bantu kami," katanya.

Katanya, dia mengakui keadaannya kini amat sukar untuk mendapatkan sumber kewangan.

"Sudah sebulan tidak boleh menoreh kerana musim hujan. Kami tiada wang simpanan selain mengharapkan bantuan orang ramai atau pihak yang berwajib untuk terus bantu kami," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!