Harimau Malaya perlu cepat kawal rentak permainan

Aidil Zafuan
Aidil Zafuan
A
A
A

KAPTEN Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Razak menggesa para pemain negara supaya segera untuk membentuk keserasian pada awal permainan ketika menentang Kemboja di Stadium Bishan pada Isnin.

Malah menurut Aidil biarpun mengakui mengakui persiapan pasukan sedikit hambar serta tiada perlawanan ujian sebelum saingan Piala Suzuki AFF, namun perkara tersebut tidak boleh dijadikan alasan.

Katanya, kegagalan pasukan untuk mendapat rentak dikhuatiri akan menjejaskan permainan Harimau Malaya yang mungkin akan memberi peluang kepada lawan untuk mencipta jaringan sekali gus bakal terlepas tiga mata penting.

“Saya harap pemain yang turun bagi kerjasama dan fokus kepada taktikal yang akan diguna jurulatih Tan Cheng Hoe.

“Kurang persiapan tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk pasukan untuk tidak dapat rentak pada awal permainan.

“Jadi saya harap para pemain dapat serasi dengan cepat kerana kalau lambat mungkin kita akan dihukum oleh lawan dengan gol dan kekalahan,” katanya dalam sidang media pada Ahad.

Dalam pada itu, Aidil berpendapat kemenangan pada perlawanan pertama akan membantu untuk meningkatkan keyakinan pemain sebelum beraksi pada perlawanan seterusnya.

Justeru dia berharap, pasukan akan menampilkan aksi yang terbaik dan wajib menang pada perlawanan pertama Harimau Malaya dalam Kumpulan B.

Artikel Berkaitan:

“Kalau menang aksi pertama ia akan jadi satu turning point untuk menambahkan lagi semangat pasukan,” katanya.