X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

'Makin lebat hujan, makin laris'

Makin lebat hujan, makin laris, itulah yang digambarkan oleh pengusaha ikan budu, Wan Sapiah dari Pantai Geting, Tumpat.
A
A

TUMPAT - Makin lebat hujan, makin laris. Itulah yang digambarkan oleh pengusaha ikan budu, Wan Sapiah Wan Yusoff, 43, dari Pantai Geting, di sini apabila menyediakan 1 tan makanan 'rare' musim tengkujuh itu.

Lebih sedekad terlibat dalam pengusahaan tersebut, Wan Sapiah berkata, dia antara orang yang ternanti-nantikan hujan lebat.

"Bukan minta banjir tetapi ikan budu hanya akan laris bila hujan lebat. Kalau tidak orang tidak akan terliur untuk menjamahnya," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurutnya, setiap tahun bermula bulan Mei, dia akan mula melakukan proses pemerapan yang melibatkan ikan tongkol dan kembung.

Katanya, hanya dua jenis ikan tersebut yang sesuai untuk dijadikan ikan budu berbanding jenis yang lain.

Wan Sapiah berkata, ikan-ikan tersebut akan dibersihkan terlebih dahulu kemudian disejat dan disusun dalam tong khas sebelum ditabur dengan garam serta asam keping.

Dia berkata, lagi lama ia diperap lagi sedap rasanya dan disebabkan itulah semua ikan budu akan diproses seawal bulan Mei.

Wan Sapiah menunjukkan ikan budu yang dijual di kedainya.
Wan Sapiah menunjukkan ikan budu yang dijual di kedainya.

"Sekarang ini Kelantan sudah memasuki musim tengkujuh dan beberapa hari ini hujan lebat sehingga menyebabkan saya tidak menang tangan melayan pelanggan yang inginkan ikan budu," katanya.

Menurutnya, dari segi harga ikan budu ini sedikit berbeza apabila semakin kecil saiznya semakin mahal harganya.

Wan Sapiah berkata, untuk saiz kecil paling murah harganya bermula dari RM22 sekilogram manakala saiz besar pula bermula dari RM10 sekilogram.

Katanya, setakat ini ikan budu yang dihasilkan dipasarkan sendiri ke seluruh Kelantan selain daripada peraih yang datang ke kedai untuk mendapatkan stok.

"Ikan budu sangat mudah disediakan, ia hanya perlu digoreng biasa atau bersama telur dadar dan ditambah hirisan bawang, cili dan limau," katanya.

Sementara itu pelanggan, Zul Ikram Sulaiman, 28, berkata, dia sanggup datang dari Machang ke Tumpat untuk mendapatkan ikan budu sebagai stok makanan musim tengkujuh.

Katanya, keunikan rasa ikan budu menyebabkan hidangan itu sangat dinanti-nantikan setiap kali hujan lebat.

"Ikan budu sangat sedap dimakan bersama nasi panas dan ulam-ulaman. Ia pasti membuat penggemar hidangan itu akan terus menjamahnya dengan berselera," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!