Jangan pandang Kemboja sebelah mata

- Foto Football Association of Malaysia
- Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

DI atas kertas Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe merupakan pasukan pilihan menewaskan Kemboja pada aksi pembuka tirai kempen Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan pada Isnin.

Malah dengan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan akhir menentang Kouprey Kampuchea, skuad negara dijangka tidak berdepan masalah melepasi halangan anak didik Ryu Hirose dalam misi meraih tiga mata.

Biarpun begitu Cheng Hoe tidak mahu pemainnya dibuai dengan rekod cantik menentang Kemboja memandangkan lawan mereka tersebut disifatkan sudah melakukan banyak peningkatan berdasarkan prestasi semasa.

Justeru pengendali kelahiran Kedah itu berharap anak buahnya berwaspada dengan corak permainan ditampilkan lawan selain perlu mengurangkan kesilapan bagi melakar keputusan positif pada perlawanan tersebut.

“Walaupun mereka tidaklah beraksi dengan begitu baik pada kelayakan Piala Dunia, tetapi saya nampak mereka mempamerkan corak permainan yang menarik selain semangat pasukan yang tinggi kebelakangan ini.

“Jadi pemain-pemain perlu elakkan kesilapan mudah lagi-lagi bila bermain dengan pasukan yang guna corak serangan pantas. Kita perlu menghentikan serangan mereka dan perlu banyak cipta peluang untuk gol kalau nak cipta keputusan positif,” katanya pada sidang media pada Ahad.

Dalam pada itu, Cheng Hoe gembira dengan persiapan pasukan negara kini dalam keadaan yang baik selain para pemain yang dipanggil bebas daripada kecederaan.

Bagaimanapun katanya, pertahanan negara yang berpangkalan di luar negara, Dion Cools hanya akan memperkuatkan pasukan pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Indonesia pada 19 Disember.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak dapat menggunakan khidmatnya dalam masa terdekat kerana dia masih terbabit dengan beberapa aksi bersama pasukannya dan kemungkinan hanya akan membantu pasukan selepas aksi menentang Vietnam.

“Saya sentiasa berkomunikasi dengan Cools dan pada masa sama dia memberikan kata-kata semangat pada rakan sepasukan serta yakin dengan kemampuan skuad pada kejohanan kali ini,” katanya.

Harimau Malaya bakal membuka tirai kempen kejuaraan menentang Kemboja yang kini menghuni ranking ke-170 dunia diikuti perlawanan berdepan Laos (185) tiga hari kemudian.

Namun, tugas getir bakal ditempuhi Malaysia (155) dalam aksi ketiga pada 12 Disember apabila dijadualkan Vietnam (98) sebelum bertemu Indonesia (165) seminggu kemudian.