Hafizh Syahrin imbau kembali era kapcai

Hafizh Syahrin
Hafizh Syahrin
A
A
A

PELUMBA Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah, kembali kepada jentera kapcai selepas sekian lama, nyata terus tiada tandingan selepas mencatat kemenangan dalam saingan kategori MP150 Elite di HI-REV IRC BRAAAP Track Attack 2021 di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang.

Bersaing dengan nama-nama besar pentas Cub Prix, Hafizh, yang menunggang jentera Yamaha untuk JR Performance, berlumba dengan mantap dan tenang, walaupun dicabar sengit oleh rakan sepasukan Izzat Zaidi, yang bermula daripada petak pertama.

Izzat, bagaimanapun, gagal memanfaatkan sepenuhnya kedudukan beliau apabila dipintas oleh Hafizh, yang pertama di selekoh pertama sekali gus memimpin perlumbaan sepanjang 15 lap sekeliling trak sepanjang 1,247 meter itu.

Walaupun dicabar rapat Izzat, yang sentiasa dalam 0.5 saat di belakang Hafizh, bekas pelumba MotoGP negara dan pemenang perlumbaan Supermotard 450cc semalam, tidak berpeluang untuk mencabar kedudukan Hafizh.

Seperti sudah membaca taktik yang digunakan oleh rakan sepasukannya, Hafizh akan menutup ruang ketika memasuki selekoh dan memecut pantas untuk meninggalkan Izzat di laluan lurus.

Hafizh, yang akan memulakan cabaran baharu untuk bersaing di pentas Kejuaraan Superbike Dunia tahun depan, menamatkan saingan untuk mencatatkan kemenangan selesa dalam 13 minit 52.345 saat dan 0.430 saat di hadapan Izzat.

Syafiq Rasol menduduki tempat ketiga tetapi ketinggalan agak jauh, lebih 24 saat di belakang gandingan pelumba JR Performance.

Nyata, bersaing untuk berseronok, Hafizh mempamerkan aksi-aksi wheelie selepas perlumbaan di samping melayan permintaan marsyal-marsyal perlumbaan dan para peminat sebelum memasuki pit.

Artikel Berkaitan:

Ditemui sebelum perlumbaan, Hafizh berkata: “Saya sememangnya teruja dan seronok dapat mengimbau kenangan menunggang kapcai selepas 11 tahun tidak bawak kapcai. Memang amat rindu mengingat zaman dulu-dulu berlumba moto kapcai. Saya seronok setiap sesi pada hari ini dan saya cuba memahami litar go-kart ini di mana ini merupakan kali pertama saya race motor kapcai di sini,” katanya.