Jiwa kental Raja Pecut Muhammad Faisal

Muhammad Shahmir dinobatkan sebagai pelumba Terbaik Keseluruhan (Jersi Kuning) dan Raja Bukit (Jersi Merah) diikuti Muhammad Faisal yang menerima Raja Pecut (Jersi Hijau) sempena Jelajah Negeri Sembilan di Dataran Rembau pada Ahad. - Foto Bernama
Muhammad Shahmir dinobatkan sebagai pelumba Terbaik Keseluruhan (Jersi Kuning) dan Raja Bukit (Jersi Merah) diikuti Muhammad Faisal yang menerima Raja Pecut (Jersi Hijau) sempena Jelajah Negeri Sembilan di Dataran Rembau pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

MESKIPUN terlibat kemalangan dua hari sebelum perlumbaan namun ia bukan menghalang bagi pelumba Muhammad Faisal Izzudin Ahmad Joyo menyarung jersi Hijau Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Negeri Sembilan 2021.

Pelumba dari Terengganu itu terlibat kemalangan akibat terlanggar batu besar ketika menjalani latihan bersama pasukannya di Nilai namun bertekad menyertai perlumbaan walaupun terpaksa bergelut dengan kesakitan tangan kiri dan kaki kiri.

Muhammad Faisal, 21, berkata, bagi persiapan perlumbaan, kesemua pelumba pasukannya telah menjelajah ke Negeri Sembilan sejauh 3,000 kilometer dari Terengganu selama 25 hari.

“Pada mulanya memang saya agak kecewa (mengalami kemalangan), tetapi memikirkan perlumbaan ini hanya tiga hari sahaja, saya teruskan perlumbaan.

“Kami juga kayuh dari Terengganu sampai sini, tidak menaiki van iaitu antara persiapan pasukan untuk Jelajah Negeri Sembilan ini. Saya bersyukur, rasa sangat berbaloi sebab sasaran pasukan dalam tiga peringkat perlumbaan ini tercapai,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar merangkap Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan.

Muhammad Faisal dinobat Raja Pecut selepas mengutip 49 mata bagi tiga hari perlumbaan pada Jumaat, bermula di d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan.

Terengganu mendominasi dua lagi kategori menerusi Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim dengan meraih gelaran Raja Bukit (Jersi Merah) selepas mengutip 18 mata dan muncul sebagai pelumba terbaik keseluruhan (Jersi Kuning).

Artikel Berkaitan:

Seramai 79 pelumba muda daripada 14 pasukan negeri termasuk dua kelab dan skuad pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) menyertai Jelajah Negeri Sembilan perlu mengharungi laluan sejauh 387 kilometer dengan Rembau sebagai destinasi terakhir hari ini.

Kejohanan itu dianjurkan Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan dengan kerjasama kerajaan negeri merentasi sebahagian laluan negeri itu di Bandar Sri Sendayan, Lenggeng, Mantin, Nilai dan Rembau. - Bernama