Harga barang naik: Wujud signal ada pihak ambil kesempatan

Gambar hiasan.- Foto 123RF
Gambar hiasan.- Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Profesor ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Graduate School of Business (UKM-GSB), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, wujud signal awal terdapat pihak yang ‘mengambil kesempatan’ sehingga menyebabkan berlaku peningkatan ketara harga runcit bagi makanan.

Menurutnya, meskipun harga runcit sebahagian besarnya dipengaruhi rantaian bekalan domestik, ia tidak sewajarnya naik pada kadar yang keterlaluan memandangkan rantaian domestik tidak dipengaruhi oleh input global.

“Kemungkinan untuk harga di ladang dipengaruhi oleh kos input global boleh diterima kerana kita mengimport input ini. Bolehkah kita menghasilkannya sendiri? Pernahkah kita usahakan? Adakah kita berhadapan dengan isu sekuriti makanan? Ini isu struktural-bekalan dan produktiviti.

“Namun harga runcit sebahagian besarnya dipengaruhi rantaian bekalan domestik. Harga runcit wajar naik tetapi tidak boleh keterlaluan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Noor Azlan berkata, harga runcit boleh naik tetapi Margin Runcit-Ladang seharusnya kekal memandangkan rantaian domestik tidak dipengaruhi oleh input global.

“Margin Runcit-Ladang jelas meningkat setiap kali ada ‘alasan’ peningkatan harga input global.

"Ini signal awal ada yang ‘mengambil kesempatan’. Siapa? Pemborong atau Peruncit? Adakah kenaikan Margin Runcit-Ladang wajar? Adil kepada semua? Suruhanjaya Persaingan-ada jawapan? Saya pasti ada lagi isu struktural yang perlu ditangani,” katanya.

Beliau sebelum itu menjelaskan, perubahan harga yang dipengaruhi oleh faktor permintaan dan pasaran secara ‘adil’ boleh diterima semua.

Ujarnya, dengan keredaan pandemik Covid-19, pembukaan semula ekonomi dunia telah meningkatkan permintaan secara mendadak.

Artikel Berkaitan:

“Permintaan yang tinggi turut didorong oleh peningkatan perbelanjaan kerajaan dan kelonggaran polisi monetari secara serentak oleh semua negara dalam menangani kelembapan ekonomi akibat dari pandemik Covid-19 sejak 2020.

“Dalam masa yang sama bekalan global juga terkesan akibat dari penutupan sektor ekonomi dan kejutan ke atas rantaian bekalan serta juga faktor cuaca. Ini faktor global, luar kawalan kita.

“Persoalan yang timbul adakah hanya faktor global ini yang mempengaruhi harga yang dibayar pembeli di pasar? Adakah pemain rantaian bekalan makanan dalam negara mengambil kesempatan?” katanya.