Telur puyuh 'gergasi' catat jualan lebih 20,000 biji sebulan

Datuk Muhammad Muhaimin Low Abdullah menunjukkan telur puyuh gergasi baka dari Perancis yang diusahakan sejak dua bulan lalu. - Foto Bernama
Datuk Muhammad Muhaimin Low Abdullah menunjukkan telur puyuh gergasi baka dari Perancis yang diusahakan sejak dua bulan lalu. - Foto Bernama
A
A
A

JASIN - Telur puyuh ‘gergasi’ baka dari Perancis yang diusahakan oleh Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd (PPMSB) sejak dua bulan lepas, semakin mendapat permintaan tinggi biarpun dipasarkan secara dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhammad Muhaimin Low Abdullah berkata, telur yang bersaiz lebih besar daripada telur puyuh tempatan itu dijual dengan harga berpatutan RM0.30 sebiji dan mencatatkan jualan lebih 20,000 biji sebulan.

"Sehingga kini terdapat kira-kira 615 ekor puyuh yang diternak dan mampu menghasikan kira-kira 400 hingga 500 biji sehari, namun jumlah itu masih tidak dapat menampung permintaan tinggi.

"Kita juga bercadang untuk menambah 1,000 ekor puyuh untuk diternak pada akhir tahun ini bagi memperluaskan pasaran hasil telur puyuh di sekitar negeri ini selain merancang untuk menambah produk sejuk beku daging puyuh," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Semujuk di sini.

Muhammad Muhaimin berkata, pihaknya menerima tempahan telur puyuh setiap hari terutamanya kedai daTelur puyuh ‘giant egg’ dan restoran tom yam selain menyediakan perkhidmatan penghantaran sekitar Melaka.

Beliau berkata, penjagaan menternak burung puyuh itu tidaklah begitu sukar namun perlu memastikan kawasan di sekeliling sangkar tidak mengalami gangguan seperti bunyi bagi mengelak puyuh daripada mengalami tekanan sekali gus menganggu proses pengeluaran telur.

Katanya, kebiasaan puyuh betina akan bertelur sebiji sehari di antara waktu 3 petang hingga 8 malam dan sekiranya puyuh tersebut tertekan, ia akan menyebabkan telur dihasilkan kecil atau langsung tidak mengeluarkan telur.

"Apabila jumlah telur puyuh dikutip berkurangan kita akan mengetahui masalah itu seterusnya akan memberi ubat untuk menghilangkan tekanan burung ternakan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Muhammad Muhaimin berkata, PPMSB turut menjual daging lembu yang diternak secara integrasi di bawah program #segardariladang bermula sejak awal tahun ini dengan harga RM30 sekilogram menerusi kaedah tempahan secara dalam talian.

Katanya, inisiatif jualan terus dari ladang juga, antara usaha meringankan beban pengguna akibat kenaikan harga barangan keperluan dan pelanggan perlu membuat tempahan awal bagi menjamin kualiti dan kesegaran daging yang dijual kepada pengguna. - Bernama