Lelaki ditahan ketika cuba seludup 164kg ganja

Mohd Roze (tiga kanan) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas di R&R Tikam Batu yang menghala ke Kuala Lumpur daripada seorang lelaki pada Khamis lalu.
Mohd Roze (tiga kanan) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas di R&R Tikam Batu yang menghala ke Kuala Lumpur daripada seorang lelaki pada Khamis lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis mematahkan cubaan menyeludup 164.64 kilogram (kg) ganja ke selatan tanah air selepas menahan seorang lelaki di kawasan Kuala Muda di sini pada Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, ganja bernilai RM412,000 itu sekiranya terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh 16,000 orang penagih.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat yang disalurkan sebelum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menahan sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina di hentian rehat dan rawat (R&R) Tikam Batu menghala ke Kuala Lumpur pada jam 5.45 pagi.

"Polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun memandu kereta tersebut. Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut menemui tujuh guni mengandungi 158 bungkusan plastik lut sinar.

"Setiap bungkusan dibaluti kertas putih mengandungi daun kering mampat yang disyaki dadah jenis ganja dengan berat 164.64kg," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini pada Ahad.

Mohd Roze berkata, lelaki tersebut direman untuk siasatan lanjut sehingga 8 Disember ini dan ujian urin terhadapnya bagaimanapun negatif.

"Suspek direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan lanjut juga dilakukan untuk mengenal pasti ahli-ahli sindiket yang terlibat," ujar beliau.

Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, Mohd Roze berkata, polis menahan 10 lelaki dan tiga wanita tempatan di sebuah rumah teres di Sungai Petani kerana terlibat dengan judi dalam talian secara langsung melalui Ops Dadu pada 25 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mereka berumur 16 hingga 64 tahun ditahan semasa sedang leka menjalankan aktiviti perjudian melalui aplikasi WeChat.

"Tiga orang yang ditahan adalah di bawah umur. Kita mendapati aktiviti perjudian dalam talian secara langsung ini adalah antara modus operandi baharu digunakan sindiket judi iaitu berlangsung tanpa kehadiran pemain.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 4(1)(g) akta sama kerana melakukan judi terbuka secara dalam talian. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 hingga RM50,000 serta boleh dipenjara sehingga tiga tahun," jelas beliau.