Piala AFF: Malaysia mampu cipta kejutan

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

[DIKEMAS KINI] MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin skuad Harimau Malaya mampu menampilkan prestasi terbaik pada saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang membuka tirai hari ini.

Beliau berkata, skuad kebangsaan yang akan memulakan saingan menentang Kemboja esok, telah membuat segala persiapan dan persediaan terbaik bagi mengharungi saingan yang berlangsung di Singapura.

"Namun, bola itu bulat apa juga boleh berlaku. Saya berharap penyokong bola sepak memberi sokongan kepada pasukan yang membawa nama negara.

"Jika kita jatuh kita bangkit semula dan apa juga keputusannya kita perlu belajar dan terus memperbaiki prestasi kita," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Peringkat Kebangsaan di sini pada Ahad.

Malaysia yang juga juara edisi 2010 akan meneruskan saingan Kumpulan B berdepan Laos pada 9 Disember, diikuti Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember) dalam misi mencapai sasaran mara ke pentas akhir buat kali kedua berturut-turut.

Sementara itu, Ahmad Faizal melahirkan rasa bangga dengan kejayaan pasukan skuasy lelaki dan wanita negara yang muncul juara Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia di Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Beliau berharap momentum kemenangan itu dapat dikekalkan dalam siri kejohanan antarabangsa seterusnya dengan memastikan atlet negara terus mendominasi sukan berkenaan.

Skuad wanita negara berjaya merampas kembali gelaran juara Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia daripada Hong Kong sekali gus mengesahkan status selaku pasukan terbaik benua ini.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan Malaysia menewaskan juara bertahan 2-1 pada aksi final di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini turut menyaksikan Malaysia kekal sebagai pasukan paling banyak meraih gelaran berkenaan dengan kejuaraan kali ke-10.

Sementara itu, skuad lelaki negara turut cemerlang apabila menamatkan kemarau kejuaraan selama 13 tahun mengatasi India 2-1 pada final kategori lelaki. - Bernama