X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Kerjasama UMNO, Pas dalam MN: Akar umbi UMNO akur suara majoriti

Gambar hiasan
A
A

ALOR SETAR - Akar umbi sedia akur dengan suara majoriti bahagian parti yang akan menentukan status kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, 191 bahagian parti itu akan menentukan status kerjasama melalui persidangan pada 18 Disember depan.

"Ya, kita ikut parti, apa yang 191 bahagian parti putuskan masa bersidang nanti, maka kita kena akur walaupun ada yang mungkin tidak bersetuju.

"Mengikut pesanan tok wan saya, kita kena ikut kelompok besar dan jikalau majoriti telah membuat pilihan, maka sebagai ahli kita kena menerimanya," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa status kerjasama akan ditentukan 191 bahagian parti.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO serah kepada 191 bahagian tentukan masa depan MN

Bagi Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Said Ali Syed Rastan, MN ditubuhkan UMNO dan Pas sebelum ini untuk menentang Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan DAP.

Katanya, tiada persetujuan bersama untuk menerima kemasukan Bersatu menyertai gabungan itu, namun Pas secara senyap-senyap bersetuju apabila bekerjasama melalui Perikatan Nasional (PN).

Said Ali berkata, parti itu masih terbuka untuk bekerjasama dengan Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun haruslah mematuhi apa yang dipersetujui bersama.

Katanya, jika parti lain ingin masuk dalam gabungan itu biarlah dibincangkan selepas PRU15 dan tidak bermakna UMNO menolak kerjasama dengan parti lain cuma belum sampai masanya.

Pada Khamis lepas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu, status kerjasama UMNO dan Pas dalam MN terletak pada 191 bahagian UMNO yang akan dibincangkan pada 18 Disember ini.

Beliau memaklumkan, persidangan kali ini cukup penting bagi masa depan MN sebelum Perhimpunan Agung UMNO berlangsung selama tiga hari bermula 13 Januari depan.

Ahmad Maslan menyatakan parti juga perlu mempertimbangkan pandangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri yang akan bersidang pada 11 dan 12 Disember ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!