Kempen fizikal hanya di 64 kawasan tiada capaian internet tinggi

Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) memulakan kerja-kerja memasang bendera parti tersebut sebagai persiapan sebelum bermulanya kempen Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak. - Foto Bernama
Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) memulakan kerja-kerja memasang bendera parti tersebut sebagai persiapan sebelum bermulanya kempen Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Penganjuran ceramah atau syarahan secara fizikal sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, hanya dibenarkan di 64 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mempunyai capaian internet yang tinggi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi laman web rasmi memaklumkan, antara kawasan itu adalah Opar, Bukit Sari, Gedong, Dalat, Simunjan, Ba'Kelalan, Marudi, Saribas, Asajaya serta Tanjong Datu dan sebarang penganjuran ceramah dan syarahan selain daripada 64 kawasan itu adalah tidak dibenarkan.

Antara prosedur operasi standard (SOP) bagi penganjuran ceramah dan syarahan ialah kehadiran peserta hendaklah 50 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 150 orang dalam satu-satu masa dan peserta yang menghadiri ceramah dihadkan kepada penduduk kampung atau rumah panjang itu sahaja.

“Selain itu, parti-parti atau calon-calon yang bertanding bertanggungjawab untuk memastikan penduduk luar dari kampung atau rumah panjang tersebut tidak menghadiri ceramah atau syarahan yang dianjurkan.

“Penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ceramah atau syarahan diadakan dengan tarikh, masa dan tempat hendaklah dinyatakan dalam permit untuk memudahkan pihak polis membuat pemantauan,” menurut laman web itu pada Ahad.

Menurut SPR, tempoh dua jam diberikan bagi setiap sesi ceramah fizikal dan tidak melebihi 10 malam, dengan penganjuran perlu dilakukan di lokasi tertutup seperti dewan, balai raya atau ruai serta tiada sebarang bentuk hiburan semasa berkempen.

SOP lain termasuk memakai pelitup muka, mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sepanjang masa, membenarkan hanya individu lengkap vaksin hadir dan menyediakan kaunter saringan kesihatan.

Sementara itu, SPR menggalakkan calon untuk mengaplikasikan penggunaan teknologi di dalam tempoh kempen selaras norma baharu susulan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, penggunaan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, WhatsApp, Telegram, rangkaian televisyen dan akhbar tempatan untuk berkempen adalah digalakkan.

Dalam pada itu, SPR tidak membenarkan temu bual secara spontan (terjah) atau di luar masa dan SPR juga akan menetapkan sesi sidang akhbar atau temu ramah di pusat-pusat mengundi bagi memastikan pematuhan penjarakan fizikal.

“Hanya wartawan yang telah lengkap menerima vaksin dibenarkan hadir ke sesi sidang akhbar atau temu ramah dengan pematuhan SOP termasuk penjarakan fizikal. Wartawan yang bergejala atau positif Covid-19 atau kontak rapat tidak dibenarkan hadir ke sesi sidang akhbar atau temu ramah,” menurut SPR.

SPR menetapkan hari penamaan calon pada Isnin manakala pengundian awal pada 14 Disember dan hari pengundian PRN Sarawak pada 18 Disember. - Bernama