Pengguna puas hati, boleh jimat harga barang murah

Wan Romani (kanan) dan Pengarah KPDNHEP Kedah, Verak menunjukkan harga ayam yang dijual pada Program Jualan Jualan Keluarga Malaysia di Padang Awam Desa Keda Batu 13 pada Ahad.
Wan Romani (kanan) dan Pengarah KPDNHEP Kedah, Verak menunjukkan harga ayam yang dijual pada Program Jualan Jualan Keluarga Malaysia di Padang Awam Desa Keda Batu 13 pada Ahad.
A
A
A

POKOK SENA - Pengunjung - pengunjung program Jualan Keluarga Malaysia di Desa Keda Batu 13 di sini berpuas hati dengan harga barangan keperluan harian yang ditawarkan di setiap gerai.

Difahamkan, harga pelbagai jenis sayur-sayuran dijual lebih murah berbanding tempat lain misalnya tomato dijual RM3 sekilogram dan bawang besar dijual RM3.50 satu bungkusan.

Suri rumah, Che Su Ramli, 60, dia tidak melepaskan peluang membeli barang dapur seperti gula, minyak masak dan ayam yang ditawarkan lebih murah pada program Jualan Keluarga Malaysia itu.

Che Su bersyukur kerana harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding harga pasaran setempat ketika barangan keperluan harian naik ketika ini.

"Jadi, kita memang berharap program jualan itu diperluas dan diperbanyak daripada dua minggu sekali kepada setiap minggu di setiap kawasan demi membantu rakyat yang terkesan.

"Jualan ini dapat membantu penduduk kurang berkemampuan untuk mendapatkan barangan keperluan harian yang mereka perlukan," katanya pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Padang Awam Desa Keda Batu 13 di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Rae Morn Verak dan Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad.

Bagi Abdul Hamid Md Isa, 57, barangan keperluan harian yang dijual pada Program Jualan Keluarga Malaysia agak murah berbanding di tempat lain.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, saya beli macam-macam termasuklah ayam, minyak masak dan beras, memang boleh jimat banyak," katanya.

Menurut Balkis Md Zain, 55, jualan berkenaan merupakan peluang terbaik untuk penduduk berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih murah.

Sementara itu, Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salim memberitahu, Pokok Sena merupakan lokasi pertama untuk penganjuran Jualan Keluarga Malaysia di Kedah.

Katanya, jualan yang dirancang dilaksanakan dua minggu sekali akan diadakan di setiap kawasan Parlimen di negeri ini dengan pemilihan lokasi memiliki penduduk B40 dan M40.

"Jualan ini disasarkan di 222 kawasan Parlimen seluruh negara termasuklah 15 daripadanya di Kedah untuk membantu penduduk dan mengurangkan bebanan mereka.

"Kita mulakan dengan Parlimen Pokok Sena disusuli Parlimen lain dengan tawaran harga barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran, ayam dan ikan pada harga lebih murah antara 10 hingga 20 peratus berbanding tempat lain," katanya.

Menurut beliau, program jualan disertai pelbagai agensi dan syarikat termasuklah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang awam.

Pada 2 Disember, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penganjuran Jualan Keluarga Malaysia sebagai antara usaha meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang ketika ini.