X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Kerjasama bidang baharu beri nilai tambah hubungan Malaysia-China

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
A
A

HUZHOU - Malaysia dan China akan terus membina hubungan kukuh melalui kerjasama dalam pelbagai bidang baharu termasuk ekonomi digital, keselamatan siber, penyelidikan vaksin, diplomasi budaya dan perfileman.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ketika merumuskan mengenai lawatan rasmi dua harinya ke China, menyifatkan bidang berkenaan akan memberi nilai tambah dalam hubungan dua hala Malaysia-China.

“Saya lihat sambil bidang-bidang sedia ada itu berjalan dengan lancar dan semakin bertambah baik, ada bidang-bidang baharu yang memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak dan ini saya lihat dalam perbincangan hari ini yang berjalan begitu baik sekali,” katanya kepada media Malaysia, di sini pada Sabtu.

Beliau dan Menteri Luar China yang juga Ahli Dewan Negara, Wang Yi bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Peringkat Tinggi (JPT) Malaysia-China mengenai kerjasama pasca era Covid-19, yang menyaksikan kedua-dua pihak sepakat untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang.

Saifuddin berkata, bidang berkenaan ialah penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengeluaran vaksin, kerjasama telekomunikasi digital dan penerbitan filem bersama, perubatan tradisional, kerjasama dalam sukan bola keranjang dan meningkatkan pengajaran bahasa Melayu di China.

“Dari segi budaya contohnya kita menghubungkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara lebih rapat dengan 15 universiti di China yang mengajar bahasa Melayu. Hari ini kita bawa 200 naskhah buku bahasa Melayu untuk disampaikan kepada universiti berkenaan,” katanya.

Sempena lawatan rasmi itu, Saifuddin turut menyaksikan majlis menandatangani tiga perjanjian antara syarikat Malaysia dan China.

Ia melibatkan memorandum persefahaman (MoU) antara GHHS Healthcare dan Sinopharm (Tianjin) Asset Management Co. Ltd., Memorandum Perjanjian (MoA) antara INIX Technologies Holdings Bhd dan Professor Chunhua Zhao, dan perjanjian usaha sama (JV) antara Riongtou Watch (Shenzhen) Co. Ltd. dan INIX Technologies Holdings Bhd.

Pada Sabtu, Saifuddin turut meraikan 10 pegawai yang terlibat dalam misi repatriasi rakyat Malaysia dari Wuhan, China selepas sekatan pergerakan diumumkan di wilayah itu akibat penularan Covid-19 pada Februari 2020.

Misi pertama melibatkan tujuh pegawai yang membawa pulang 87 rakyat Malaysia dan 20 tanggungan (warga asing) pada 2 Februari 2020.

Pegawai terlibat ialah Menteri Penasihat Kedutaan, Samsul Kahar Kamarudin; Setiausaha Pertama Kementerian Luar, Nur Zaitie Suhana Zakaria; Penasihat Kedutaan (Imigresen), Ibrahim Jack; Penasihat Kedutaan (Kastam), Nik Mazaid Nik Man; Setiausaha Pertama (Pendidikan), Jason Choy Min Sheng; Pembantu Tadbir (Penerangan), Mohd Syahmi Md Yusoff; dan Penolong Setiausaha Bahagian Asia Timur, Choo Hwai Jeng.

Misi kedua bagi membawa pulang 46 rakyat Malaysia dan 20 tanggungan (warga asing) pada 25 Februari 2020 pula melibatkan tiga pegawai.

Mereka ialah Penasihat Kedutaan (Imigresen), Raiz Razally; Penasihat Kedutaan (Pertanian), Muhammad Daniel Yee Abdullah; dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Inspektorat Kementerian Luar, Bong Yik Jui.

Pada majlis yang diadakan secara secara hibrid itu, Saifuddin berkata, walaupun diadakan agak lewat, beliau ingin menyampaikan ucapan terima kasih secara peribadi kepada mereka yang telah berkhidmat dengan cemerlang.

Menurutnya, semua pegawai terlibat menerima keputusan Duta Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin untuk melaksanakan misi berkenaan sebagai satu amanah dan pengorbanan yang sangat besar.

“Bayangkan, orang lain lari keluar dari Wuhan, anda lari masuk Wuhan untuk menolong rakyat kita keluar dari sana. Orang di Wuhan ada yang sudah meninggal dunia (akibat Covid-19) pada ketika itu dan kita pun belum faham pandemik apa yang menyerang dan vaksin pun belum ada,” katanya.

Saifuddin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Nushirwan yang mewakili anggota misi dari Kedutaan Malaysia di Beijing. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!