Kerajaan peruntuk RM25 sehari kepada setiap mangsa banjir di PPS

Sukarelawan JKM, Lina Mohd Zainudin (kanan) menyampaikan bakul makanan kepada mangsa banjir Mek Yeam Ahmad, 80, di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dekat Rantau Panjang. - Foto Bernama
Sukarelawan JKM, Lina Mohd Zainudin (kanan) menyampaikan bakul makanan kepada mangsa banjir Mek Yeam Ahmad, 80, di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dekat Rantau Panjang. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM25 sehari kepada setiap mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, peruntukan itu meliputi bekalan makanan berkhasiat tiga kali sehari kepada mangsa yang akan diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kerajaan akan sentiasa memastikan kebajikan mangsa banjir dijaga terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.

"Mangsa banjir juga perlu sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar tidak berlaku sebarang penularan wabak Covid-19," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, di sini, pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menasihatkan mangsa banjir supaya tidak menyembunyikan status sekiranya positif Covid-19 kerana tindakan itu boleh menyebabkan berlaku penularan dan menyusahkan orang lain.

"Di PPS memang kita ada sediakan kakitangan daripada Kementerian Kesihatan untuk membuat pemeriksaan kepada setiap mangsa dan turut menyediakan SOP khusus di PPS supaya keselamatan semua mangsa terpelihara," katanya.

Menurut info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, setakat pukul 12 tengah hari, jumlah mangsa banjir di Rantau Panjang dekat Pasir Mas yang ditempatkan di PPS SK Tok Deh kekal 33 orang, membabitkan enam keluarga. - Bernama

Artikel Berkaitan: